Terbang bersama Jet Perisik Mata
SEBUAH pesawat Airbus A320 AirAsia dihiasi 'livery' reka bentuk animasi Ejen Ali kini dilancarkan.
Jet Perisik MATA atau MATA Spy Jet dilancarkan menerusi kerjasama AirAsia dengan Primeworks Studios dan Wau Animation yang merupakan pemilik harta intelek siri animasi popular tersebut.
Pelancaran berlangsung di Kuala Lumpur ini adalah acara kemuncak kempen #MisiAspirasiAirAsia, sebuah kerjasama antara Ejen Ali dan AirAsia yang mendukung empat nilai murni iaitu, beraspirasi tinggi, mesra, bijak berbelanja dan baik hati yang bertujuan memberi inspirasi dan mencorak sifat kepimpinan dalam diri kanak-kanak sebagai bakal pemimpin masa hadapan.
Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Spencer Lee berkata, kempen ini dilancarkan September lalu melalui pertandingan video #MisiAspirasiAirAsia, di mana Ejen Ali dan AirAsia mencari rekrut ejen baharu dengan menjemput ibu bapa berkongsi video anak-anak mereka beraksi sambil memperlihatkan empat nilai murni tersebut di laman sosial.
"Pemenang pertandingan kempen itu turut diumumkan pada majlis pelancaran ini, di mana hadiah utama berupa sejuta BIG points, bersamaan tiket penerbangan percuma untuk seluruh keluarga selama satu tahun dihadiahkan kepada Muhammad Adam Rashidi Mohd Rafiq," katanya.
Pada 17 Mac lalu, empat ejen cemerlang telah dijemput menyertai Ejen Ali dan AirAsia dalam sebuah misi rahsia, menceriakan penghuni Orion Home, sebuah rumah kebajikan didiami 87 kanak-kanak kurang berkemampuan di bawah jagaan The Budimas, Charitable Foundation, yang terletak di Paroi, Negeri Sembilan.
"Pada program itu, AirAsia Fun Team dan maskot Ejen Ali turut serta. Aktiviti khas turut dilaksanakan termasuk sukaneka, sesi inspirasi oleh salah seorang juruterbang AirAsia, sesi tutorial solekan bersama krew kabin AirAsia dan sesi pra-tonton eksklusif episod terbaharu siri Ejen Ali.
"Ejen Ali dan AirAsia turut memberikan sumbangan buku kepada rumah kebajikan berkenaan bertujuan membantu organisasi Budimas membina perpustakaan di kawasan luar bandar dan miskin di serata Malaysia," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar berkata, pelancaran âliveryâ ini adalah sebuah peristiwa amat bermakna buat Ejen Ali kerana menjadi siri animasi Malaysia pertama berpeluang terbang tinggi bersama AirAsia.
"Kami berbesar hati dengan pencapaian Ejen Ali selaku salah satu wakil terkemuka industri animasi Malaysia dan berharap lebih ramai kanak-kanak di serata dunia tertarik dengan aksi hero cilik ini, di samping mendorong mereka mencapai impian besar,â katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, kerjasama seumpama ini diharap berpotensi mendorong perkembangan lebih pesat untuk industri animasi tanah air.
Ejen Ali bersiaran di TV3 setiap Jumaat jam 5.30 petang dan Sabtu jam 10.30 pagi, dan kini dalam siaran antarabangsa di lebih 50 negara seluruh dunia.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment