Bekas pemain Lyon, Harry Novillo perkuatkan JDT

Thursday, March 29, 2018

Bekas pemain Lyon, Harry Novillo perkuatkan JDT

Bekas pemain Lyon, Harry Novillo perkuatkan JDT

PENDAHULU Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka terus mengukuhkan kedudukan selaku pasukan terbaik tanah air, selepas berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Lyon dan Melbourne City, Harry Novillo dari Perancis.

Perkara itu disahkan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest menerusi laman Facebook rasmi kelab berkenaan, Johor Southern Tigers hari ini.

Novillo, 26, yang membuat sembilan penampilan sepanjang mewakili skuad Bawah 17 dan Bawah 19 Tahun Perancis, dijangka membuat kemunculan pertamanya bersama skuad Harimau  Selatan, selepas jendela perpindahan dibuka pada Jun depan.

“Api apabila ia dibakar, ia akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dihalang. Kelab ini ingin mengalu-alukan kehadiran Harry Novillo, bekas pemain Lyon dan Melbourne City yang sedang bermain di Dubai ketika ini. Beliau akan menyertai kami di JDT apabila jendela perpindahan dibuka nanti.

“Kelab ini berasa sukacita dan gembira untuk memiliki pemain berkaliber, pemain muda dahagakan sesuatu pencapaian terbaik serta ingin menjadi sebahagian daripada kelab paling pesat berkembang, paling bercita-cita dan bersungguh-sungguh di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Novillo yang beraksi bersama kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Baniyas FC dengan berjaya meledak 10 gol dalam 13 aksi setakat ini, dilihat sudah bersedia menggalas tanggungjawab tersebut.

“Saya membara, anda membara, letakkan kami bersama, bagaimana mereka akan menghalang kami?” kata Novillo.

Selepas merangkul gelaran juara Liga Super buat kali keempat berturut-turut sejak 2014, JDT yang menamatkan penantian 26 tahun untuk dinobatkan selaku juara Piala Malaysia musim lalu, terus komited dalam mencapai lebih banyak kejayaan pada musim ini.

JDT kini mendahului carta kedudukan  Liga Super dengan mengumpul 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan, mengatasi Pahang dan PKNS FC, masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan perbezaan dua mata selain berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik dalam saingan Piala FA.

Sementara dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, JDT berada di tempat ketiga Kumpulan G berkongsi tujuh mata bersama pendahulu, Song Lam Nghe An dari Vietnam dan Persija Jakarta dari Indonesia (kedua) selepas empat perlawanan. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment