MPK bangunkan RKK Bandar Kluang
KLUANG - Walaupun Parlimen Kluang ditadbir pembangkang, namun Majlis Perbandaran Kluang (MPK) terus melaksanakan perubahan dan pembangunan, khusus kepada masyarakat di sini.
Antara perubahan itu adalah mewujudkan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Kluang di mana ia adalah satu kawasan tumpuan MPK bagi menjadikan bandar Kluang sebagai lokasi menarik.
Yang Dipertua MPK, Nasri Md Ali berkata, kawasan seluas 12.8 hektar itu dipenuhi dengan bangunan-bangunan lama sekitar 1930-an yang mempunyai sejarah, dan MPK merancang memperkemaskan lagi kawasan tersebut agar menjadi kawasan tarikan pelancong serta masyarakat setempat.
Menurutnya, selain memulihara dan memelihara bangunan lama, pelbagai kerja penambahbaikan serta pembangunan telah dirancang, khususnya di kawasan bandar Kluang bermula 2015 hingga tahun ini.
âSehingga kini, RM4.8 juta telah dibelanjakan untuk kerja naik taraf kawasan berkenaan termasuk sistem perparitan dan lorong belakang, yang sebelum ini terlalu kotor serta tidak dijaga.
âPada 2015, pihak MPK telah mengambil inisiatif mengubah kawasan berkenaan, agar ia lebih dihargai oleh masyarakat dari aspek pembangunan selepas MPK mendapat peruntukan menaik taraf kawasan tersebut.
âAlhamdulillah, semuanya telah siap dan kita cuba masukkan input baharu atau pandangan yang menarik dengan melukis mural,â katanya.
Beliau berkata, beberapa mural telah dilukis di kawasan tersebut sejak 2015.
âKini kawasan lorong belakang deretan kedai di Jalan Teoh Siew Khor kelihatan menarik, terang dan menjadi tumpuan orang ramai kerana telah dinaik taraf. Kita lihat Laman Kreatif yang dibina ini mempunyai potensi untuk diangkat ke peringkat antarabangsa,â katanya.
Menurutnya, pada 2017 Laman Kreatif Kluang telah berjaya meraih tiga anugerah dan ia satu kejutan kerana kawasan itu asalnya kotor dan tidak menarik diubah menjadi kawasan cantik dan diiktiraf antarabangsa.
âAnugerah pertama diterima pada Jun 2017, International Gold Green Apple Awards (Built Environment And Architectural Heritage) di London, United Kingdom dan telah disampaikan oleh Pengasas Organisasi Green Apple, Roge Wolens.
âLanjutan daripada penerimaan anugerah tersebut, pihak MPK dilantik sebagai World Green Ambassador 2017, juga di London pada November lalu.
âLaman Kreatif Kluang juga telah dicalonkan untuk World Award dan berjaya dinobatkan sebagai Global Gold Winner for Regional Authorities 2017 di Green World Awards, Dubai pada 11 Disember 2017,â katanya.
Sementara itu katanya, MPK juga telah menaiktaraf Laman Merdeka secara keseluruhan bagi memberi keselesaan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga.
Menurutnya, pihaknya akan membina satu lagi kawasan riadah yang diberi nama Laman Warisan Mahkota, terletak berhampiran Laman Merdeka dan Laman Pesona pada tahun ini.
âLaman ini nanti akan dibina satu menara jam dan bendera. Selain itu, satu tempat informasi baharu turut dibina untuk kemudahan penduduk sekitar beriadah.
âMPK juga sedang menjalankan kerja mengecat semula bangunan lama di kawasan Bandar Kluang melibatkan 14 blok dengan kos RM458,000 dan dijangka siap pertengahan April ini,â katanya.
Beliau berkata, ia adalah fasa kedua setelah fasa pertama siap sebelum ini.
âSaya percaya dengan perancangan baik dan sokongan orang awam, kawasan ini akan menjadi tumpuan, sekali gus membantu peniaga di RKK Kluang menjana ekonomi mereka,â katanya.
#prusinar #aparakyatmahu
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment