Kerajaan sasar bina 200,000 unit PPA1M
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasar membina 200,000 unit PPA1M dalam tempoh beberapa tahun akan datang kata, Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, setakat ini sebanyak 35,753 unit PPA1M sudah siap dan sedang dibina dengan 106,000 unit lagi dalam perancangan untuk dibina.
"Sebagai kerajaan prihatin, kami sentiasa mengambil berat dalam usaha untuk mempertingkatkan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat.
"Sebab itu kerajaan memperkenalkan pelbagai program seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan PPA1M," katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib berkata, PPA1M bukan sahaja menawarkan unit rumah dengan ruang yang luas serta persekitaran yang menarik dan bersih, malah menyediakan pelbagai kemudahan lain.
"Metropolitan Kepong sebagai contoh terbaik yang berharga dari RM90,000 hingga RM300,000 seunit dan harga itu jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran.
"Mereka yang membeli rumah di projek ini mendapat banyak manfaat antaranya ialah mendapat rumah idaman, tinggal dalam kawasan yang selesa dan mendapat aset yang akan menambah nilai dari semasa ke semasa" katanya.
PPA1M Metropolitan Kepong dibangunkan oleh JL99 Holdings Sdn Bhd di atas tapak seluas 3.31 hektar bermula 27 Mei 2016 dan siap sepenuhnya pada 1 Mac lalu.
Kediaman berkonsepkan moden itu membabitkan pembinaan sebanyak 1,230 unit dengan harga jualan bermula dari RM90,000 hingga RM300,000 dan keluasan dari 850 hingga 1,500 kaki persegi.
PPA1M Metropolitan Kepong dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kedai runcit, kedai dobi, taman permainan, surau, dewan serbaguna, klinik, pusat rekreasi dan gelanggang bola keranjang.
Tiada sesiapa kata manifesto pembangkang baik untuk negara
Sementara itu, mengulas mengenai manifesto pakatan pembangkang, Najib berkata, belum ada mana-mana pihak ketiga atau badan pengiktirafan yang mengatakan manifesto itu baik untuk negara.
Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak mudah menerima dan terpengaruh dengan janji ditawarkan pembangkang.
"Apa yang saya cakap ini adalah benar kerana tiada badan pengiktirafan, yang telah pun mengatakan apa yang terkandung dalam manifesto pembangkang baik untuk negara kita. Belum ada mana-mana pihak ketiga berkata demikian.
"Jadi kalau pihak yang bebas, pihak yang ada kredibiliti tidak yakin kepada manifesto dan agenda dibawa pembangkang, jangan mudah kita sebagai rakyat menerima apa dijanjikan oleh mereka," katanya.
Najib berkata, kerajaan sedia ada sebaliknya sudah membuktikan bahawa semua yang dijanjikan sudah ditunaikan, dengan pelbagai kemudahan dibina demi kesejahteraan rakyat.
"Lihat sahaja keadaan Wilayah Persekutuan hari ini, pengangkutan awam untuk rakyat, kemudahan perumahan untuk rakyat, projek seperti taman rekreasi dan sebagainya memperlihatkan banyak perubahan kepada kawasan Wilayah Persekutuan ini.
"Ini pembangkang pula kata mahu hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). RM20 bilion akan hilang setahun dan mana mungkin pelbagai kemudahan dapat disediakan untuk rakyat," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata jika GST dihapuskan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mampu dilaksanakan dan bayaran khas RM1,500 seperti yang dijanjikan kepada penjawat awam tidak dapat diberikan.
"Kesan buruk adalah terhadap rakyat manakala ekonomi negara akan menguncup dan kadar pertumbuhan negara mungkin terjejas dan akhirnya rakyat menanggung derita," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment