Rakyat perlu pilih kerajaan stabil - PM

Friday, March 30, 2018

Rakyat perlu pilih kerajaan stabil - PM

Rakyat perlu pilih kerajaan stabil - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu memilih kerajaan yang stabil dalam aspek politik dan kepimpinan untuk membangun dan mentadbir negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yang dipilih masyarakat perlulah menentukan hala tuju negara dengan memberi keutamaan kepada empat dimensi iaitu, politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.

Katanya, tanpa kestabilan politik dan kepimpinan yang tidak memahami bagaimana mahu mentadbir serta menentukan keutamaan dalam agenda negara, segala yang dikecapi ketika ini akan hancur dan tidak bermakna lagi.

"Contohnya, ada pihak yang menyatakan saiz penjawat awam terlalu besar, hingga ada kertas kerja dibentangkan oleh Penang Institute menyebut hanya 430,000 penjawat awam yang diperlukan berbanding 1.62 juta ketika ini.

"Implikasinya, mungkin saiz anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau perkhidmatan pelajaran akan dikurangkan. Segalanya mungkin berlaku jika dasar kerajaan tidak menepati keperluan sebenar.

"Lebih buruk daripada itu, seandainya ada pihak yang tidak memahami asal usul sejarah negara, misalnya dicadangkan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dibubar kerana tidak sesuai dengan konsep 'Malaysian Malaysia'. Apa implikasi pada kita semua?

"Bukan saya sengaja mahu timbulkan isu sensitif, tapi mahu kita sedar dan menghayati hakikat bahawa kita perlu tentukan kepemimpinan paling sesuai dan tepat untuk aspirasi dan masa depan negara kita bersama," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM 2018 di sini.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Zahid Hamidi bergambar bersama pegawai-pegawai tertinggi ATM dan PDRM pada Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM bersama Perdana Menteri di Wisma Perwira ATM. Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Asyraf Hamzah

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Seramai 460 anggota ATM dan PDRM hadir pada majlis makan malam itu bagi meraikan kerjasama dua agensi keselamatan itu, selain meraikan Sambutan Hari Peringatan PDRM Ke-211 serta pameran NBOS antara Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, ATM dan PDRM.

Walaupun Najib tidak menyebut mana-mana pihak, namun umum mengetahui konsep Malaysian Malaysia adalah prinsip dan agenda politik yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemilihan tampuk kepemimpinan yang tepat, khususnya dengan sokongan ATM dan PDRM, akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat di persada antarabangsa.

"Malaysia memiliki masa depan yang cerah. Inilah yang mesti kita pertahankan. Kesetiaan kita pada negara tidak boleh berbelah bahagi.

"Setiap pada anda semua (anggota ATM dan PDRM) sanggup berkorban apa jua, kerana itu kami kepemimpinan kerajaan amat menghargai sumbangan dan pengorbanan yang tidak terkira.

"Saya juga akan mempertimbangkan apa jua yang mampu kita berikan supaya ATM dan PDRM terus berkembang dengan penuh kebanggaan sebagai dua institusi yang penting untuk negara dan masa depan kita," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment