Hadkan anak guna gajet elak rosak penglihatan

Friday, March 30, 2018

Hadkan anak guna gajet elak rosak penglihatan

Hadkan anak guna gajet elak rosak penglihatan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mengehadkan penggunaan peranti elektronik seperti tablet dan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak bagi mengelakkan penglihatan mereka rosak.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata beliau bimbang dengan trend membiarkan kanak-kanak bawah tiga tahun bermain dengan peranti berkenaan tanpa had.

Malah, katanya, ada dalam kalangan ibu bapa memberikan alasan terpaksa membiarkan anak bermain dengan peranti berkenaan kerana tiada masa untuk melayan kerenah mereka.

"Apa yang lebih membimbangkan, kanak-kanak ini bermain dengan peranti elektronik tanpa sebarang pemantauan, yang menyumbang kepada masalah ketagihan atau 'gila gajet'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kajian global baru-baru ini, yang mendapati penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar dan televisyen melebihi dua jam seminggu, memberi implikasi negatif terhadap daya penglihatan.

Kajian itu turut menyarankan kanak-kanak sewajarnya hanya dibenar bermain dengan peranti elektronik sekitar 17 minit saja sehari.

Lam Thye, berkata had waktu itu perlu dilihat serius, berikutan baru-baru ini, Kementerian Pendidikan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa penggunaan gajet elektronik terlalu lama, antara penyumbang utama masalah penglihatan dalam kalangan pelajar.

Katanya, jika masalah ketagihan atau 'gila gajet' tidak ditangani segera, beliau bimbang ia bukan saja akan merosakkan penglihatan, tetapi kanak-kanak turut berdepan risiko pelbagai masalah sosial lain termasuk pornografi dan buli siber.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment