Pelajar maut terlibat kemalangan

Friday, March 30, 2018

Pelajar maut terlibat kemalangan

Pelajar maut terlibat kemalangan

KULAI â€" Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM 38.4 Lebuhraya Utara Selatan kira-kira jam 2.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa, Mohammad Fareez Mohammad Rosli, 17, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit dan beralamat di Taman Scientex, di sini.

Menurutnya, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian kepala serta badan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah utara ke selatan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang lori yang bergerak di lorong kiri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan pada masa yang sama pemandu kereta Perodua Axia tidak sempat mengelak kerana mangsa jatuh di hadapan keretanya.

“Kereta berkenaan yang terlanggar motosikal dan mangsa sebelum turut hilang kawalan dan melanggar belakang lori. Kemudiannya datang pula sebuah lagi motosikal yang tidak sempat mengelak lalu terbabas,” katanya.

Dzulkhairi berkata, pemandu kereta Perodua Axia, T Sanmuga, 45, dan seorang lagi penunggang motosikal, Arif Ridzuan Masran, 17, mengalami kecederaan akibat kemalangan itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI).

“Pemandu lori, Zainal Abidin Shamsuddin, 65, tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment