GegaRia: Baling selipar lepas geram
KUALA LUMPUR: Keletah gandingan ibu dan anak menyelamatkan diri daripada terkena balingan selipar mencuit hati pengunjung Festival GegaRia 2018, hari ini.
Biarpun meniti usia 43 tahun, Zarina Kamarul Bahrin, kelihatan lincah ketika beraksi dalam sukan permainan rakyat yang sinonim dengan generasi terdahulu, sekali gus meraih sokongan orang ramai.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan sukan yang semakin luput dalam kalangan generasi muda masa kini adalah permainan tradisi ahli keluarganya.
"Tiap kali balik kampung atau menganjurkan hari keluarga, permainan baling selipar mesti menjadi acara kemuncak dan wajib diadakan.
"Ia menyeronokkan sebab masa inilah kita nak lepas geram dengan membaling selipar pada orang, namun ada mesej di sebaliknya.
"Permainan rakyat ini menyihatkan badan, selain merapatkan ukhuwah sekeluarga biarpun kadang kala saingannya sengit," katanya kepada NSTP, sebentar tadi.
Acara baling selipar yang menyaksikan perlawanan antara dua kumpulan, diwakili tiga pemain dianjurkan Street Team sempena Festival GegaRia 2018 di perkarangan Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini.
Zarina yang bertugas di MATRADE berkata, keluarganya mengikuti perkembangan Festival GegaRia, namun tidak berkesempatan menyertainya berikutan kekangan masa dan lokasi penganjuran.
"Bila tahu festival ini diadakan di MATRADE, saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk meluangkan masa dan menyertai setiap aktiviti yang dianjurkan.
"Pengisian GegaRia menepati cita rasa golongan muda, selain menggabungkan elemen pendidikan dan riadah untuk manfaat seisi keluarga," katanya yang hadir bersama suami, Mohd Faidzul Sharifuddin, serta tiga anak, iaitu Fatin Zafira, Fatin Zahira dan Zarif Farhan, masing-masing berusia antara sembilan hingga 15 tahun.
Anak sulungnya, Fatin Zafira, berkata permainan baling selipar akan dijadikan legasi keluarga kerana mempunyai pelbagai manfaat kesihatan dan sejarah tersendiri.
Katanya, ia lebih menyeronokkan berbanding permainan video, selain berupaya menangani gejala 'ketagih gajet' yang ketika ini semakin menular dalam kalangan generasi muda.
"Ibu bagi main permainan video dan melayari media sosial di telefon bimbit, tetapi ia perlu seimbang dengan aktiviti menyihatkan badan.
"Sebab itu baling selipar ini dijadikan legasi kami sekeluarga," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment