Pembangkang ambil mudah agenda Bumiputera

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Razak berkata, manifesto pakatan pembangkang tidak mengandungi kandungan kukuh untuk menegakkan dan meneguhkan ekonomi Bumiputera.
Perdana Menteri berkata, daripada 60 janji, hanya ada satu janji yang menyebut perkataanekonomi Bumiputera itu pun bukannya janji ke-10 atau 20 tetapi janji ke-30.
"Saya belek janji itu, lagi tiada mengandungi apa-apa yang kukuh untuk menegak...meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas mahu pun tegas," katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Usahawan Bumiputera anjuran SME Corp di Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Kira-Kira 14,000 usahawan Bumiputera hadir pada perhimpunan terbesar itu.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata paling kuat dalam manifesto itu hanyalah janji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera.
"Apakah yang Bumiputera dapat daripada perkara itu? Janji lain dalam manifesto itu, kami Kerajaan BN sudah buat.
"Itulah... betapa mereka ambil mudahnya agenda Bumiputera, " katanya.
Najib berkata, kerajaan akan tetap mendokong dasar memberi bantuan dan inisiatif kepada Bumiputera.
Katanya, menjadi hasrat beliau, semua rakyat di negara ini berpeluang menikmati kehidupan yang aman dan selesa.
"Kerajaan akan terus membela nasib ekonomi kaum Bumiputera dan kesungguhan bermula dengan Dasar Ekonomi Baru, yang sehingga kini tidak luput mahu pun pudar, membawa kepada pelancaran Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB), yang diumumkan tahun lalu," katanya.
Beliau juga menegaskan akan meneruskan legasi ayahandanya Tun Abdul Razak, yang memperjuangkan agenda Bumiputera.
"Sememangnya Kerajaan BN sentiasa prihatin dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.
"Perjuangan jihad ini akan saya teruskan walau apa pun cabaran mendatang kerana itulah tanggungjawab saya sebagai Ketua Kerajaan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment