'Tiada faedah menang dalam parti jika kalah PRU'

Saturday, March 31, 2018

'Tiada faedah menang dalam parti jika kalah PRU'

'Tiada faedah menang dalam parti jika kalah PRU'

PONTIAN: Pemimpin peringkat akar umbi UMNO diingatkan bekerja keras dan fokus untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding tumpuan pada kedudukan dalam parti.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tiada faedah memenangi jawatan dalam parti jika Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU-14.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perkara itu boleh diberi perhatian selepas PRU-14 selesai dan BN berjaya memenanginya.

"Yang penting, menang dulu pilihan raya. Tiada faedah menang dalam UMNO jika tidak menang PRU.

"Saya menyokong penuh gesaan Presiden parti supaya fokus menang pada PRU dan bukan tumpu pada pertandingan cawangan, bahagian atau peringkat tertinggi. Apabila menang besar, barulah atur yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui NSTP pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tajaan Sisipan Pendidikan dalam akhbar BH di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Fauzan Mohd Hanafi.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihak pembangkang harus bersikap lebih terbuka dan menyokong Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Pembangkang tidak setuju ini, mereka sokongkah berita fitnah? Ini (berita tidak benar) bukan dalam media sosial sahaja tetapi juga penerbitan lain.

"Pembangkang perlu bersikap terbuka. Matlamat RUU Antiberita Tidak Benar 2018 bertujuan menjadikan generasi kita madani, bermaruah dan bermartabat dengan tidak mempercayai berita tidak benar," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment