Bukti kerajaan BN prihatin
PASIR SALAK - Bantuan khas pesawah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) membantu meringankan beban ditanggung mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bantuan khas itu sememangnya sesuatu yang dinantikan golongan pesawah di seluruh negara kerana bantuan itu merupakan permintaan golongan berkenaan sejak sekian lama.
"Bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka memandangkan golongan itu tidak mempunyai sumber pendapatan lain dengan hanya bergantung kepada kerja sawah sahaja.
"Saya sebagai timbalan menteri selalu turun padang berjumpa dengan pesawah yang merayu untuk diberikan bantuan khas kepada mereka dan setelah dipertimbangkan oleh perdana menteri akhirnya permintaan itu telah dipenuhi oleh kerajaan," katanya.
Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata demikian semasa merasmikan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) 2018 Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Seri Maharajalela di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tajuddin turut menyangkal dakwaan pembangkang kononnya bantuan khas pesawah itu merupakan rasuah politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).
"Bukan sahaja bantuan khas, kita turut memperuntukkan subsidi baja sehingga RM3 bilion kepada pesawah termasuk menaik taraf sistem perairan untuk sawah padi," katanya.
Pesawah-pesawah di seluruh negara bakal menerima berita gembira apabila Perdana Menteri akan mengumumkan kenaikan bantuan khas pesawah jika BN terus diberi mandat mentadbir negara ini pada PRU14.
Najib berkata beliau akan terus membuat pengumuman itu pada malam kemenangan BN bagi menghargai sokongan penuh golongan berkenaan kepada kerajaan sedia ada.- Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment