Tiada pihak iktiraf manifesto pembangkang - PM

Thursday, March 29, 2018

Tiada pihak iktiraf manifesto pembangkang - PM

Tiada pihak iktiraf manifesto pembangkang - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata belum ada mana-mana pihak ketiga atau badan pengiktirafan yang mengatakan manifesto pakatan pembangkang baik untuk negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya tidak mudah menerima dan terpengaruh dengan janji ditawarkan pembangkang.

"Apa yang saya cakap ini adalah benar kerana tiada badan pengiktirafan, yang sudah pun mengatakan apa yang terkandung dalam manifesto pembangkang baik untuk negara kita. Belum ada mana-mana pihak ketiga berkata demikian.

"Jadi kalau pihak yang bebas, pihak yang ada kredibiliti tidak yakin kepada manifesto dan agenda dibawa pembangkang, jangan mudah kita sebagai rakyat menerima apa dijanjikan oleh mereka," katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong di sini, hari ini.

Najib berkata, kerajaan sedia ada sebaliknya sudah membuktikan bahawa semua yang dijanjikan sudah ditunaikan, dengan pelbagai kemudahan dibina demi kesejahteraan rakyat.


NAJIB bergambar bersama pemilik rumah pada Majlis Penyerahan Kunci PPA1M Metropolitan Kepong di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Sairien Nafis

"Lihat sahaja keadaan Wilayah Persekutuan hari ini, pengangkutan awam untuk rakyat, kemudahan perumahan untuk rakyat, projek seperti taman rekreasi dan sebagainya memperlihatkan banyak perubahan kepada kawasan Wilayah Persekutuan ini.

"Ini pembangkang pula kata mahu hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). RM20 bilion akan hilang setahun dan mana mungkin pelbagai kemudahan dapat disediakan untuk rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jika GST dihapuskan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mampu dilaksanakan dan bayaran khas RM1,500 seperti yang dijanjikan kepada penjawat awam tidak dapat diberikan.

"Kesan buruk adalah terhadap rakyat manakala ekonomi negara akan menguncup dan kadar pertumbuhan negara mungkin terjejas dan akhirnya rakyat menanggung derita," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment