Bersama perkasakan PDRM jadi terbaik di Asia - TPM

Saturday, March 31, 2018

Bersama perkasakan PDRM jadi terbaik di Asia - TPM

Bersama perkasakan PDRM jadi terbaik di Asia - TPM

ALOR SETAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memulakan program sehari di Kedah dan Perlis, hari ini, dengan menghadiri majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri tiba kira-kira jam 9.25 pagi tadi, dengan diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim, dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin.

Ahmad Zahid yang bersut gelap dan kelihatan ceria, disambut lebih 100 anggota serta pegawai polis dan orang awam sebelum memulakan majlis dengan menyempurnakan pemeriksaan barisan kawalan kehormat.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerajaan mahu semua pihak, termasuk pemimpin rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO), bersama memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadi agensi penguat kuasa terbaik di Asia.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tengah) memeriksa perbarisan kawalan kehormat di Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di Jalan Kolam Air. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Saya akui PDRM antara agensi penguat kuasa di barisan hadapan dalam melaksanakan tugas pencegahan dan pembanterasan jenayah tetapi dengan pembabitan semua pihak, PDRM mampu jadi yang terbaik bukan sahaja di rantau ASEAN tapi Asia.

"Jangan membiarkan PDRM bersendirian dan dengan moto sempena Hari Polis Ke-211, iaitu 'Polis dan Rakyat Berpisah Tiada', maka di sini kita dapat lihat pemerkasaan agensi penguatkuasaan itu bergantung sama dengan pembabitan rakyat dan pemimpin masyarakat.

"Kerajaan juga komited memperkasakan PDRM dengan menaik taraf semua IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen), IPD dan berek polis di seluruh negara. Kita mahu apabila anggota dan pegawai pulang ke berek yang dinaik taraf, mereka akan dimotivasikan dengan senyuman isteri dan anak masing-masing," katanya.

Selepas ini, Ahmad Zahid dijangka mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Beliau juga akan menghadiri majlis bersama rakyat di Dewan 2020, Kangar, Perlis.

Pada sebelah petang, Timbalan Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan polis negeri di IPK Perlis.

Beliau akan mengakhiri lawatan kerja dengan menghadiri majlis bersama masyarakat Pendang di tapak Pasar Kemboja dan Pekan Sabtu, Pendang, Kedah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment