BN, UMNO tak atur persempadanan semula
SHAH ALAM: Dakwaan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terbabit mengaturkan persempadanan semula kawasan pilihan raya disifatkan sebagai tuduhan jahat.
Malah, ia tiada kaitan dengan perasmian bilik gerakan kawasan Parlimen P107 Sungai Buloh oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, empat bulan sebelum Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail, berkata perancangan dalam mengatur persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan dibuat seminggu dua, sebaliknya mengambil masa beberapa tahun.
"Berpandukan kepada syor pertama oleh SPR, sebagai langkah awal, bilik gerakan itu dinamakan sebagai bilik gerakan P107 Sungai Buloh dan tindakan mewujudkan bilik gerakan ini tidak pun salah dari segi undang-undang," katanya dalam kenyataan.
Zein Isma berkata, sekiranya tidak berlaku apa-apa perubahan di saat akhir, maka ia satu kelebihan buat UMNO dan BN Selangor, khususnya di kawasan Parlimen itu kerana pihaknya bersedia awal mewujudkan bilik gerakan berkenaan.
"Sekiranya berlaku sebarang perubahan di dalam perancangan awal SPR, maka nama bilik gerakan itu akan ditukar kepada nama kawasan Parlimen sepatutnya.
"Alhamdulillah, Dewan Rakyat sudah meluluskan persempadanan semula ini, maka ia adalah satu kelebihan kepada kita kerana sudah bersiap sedia dari awal," katanya.
Beliau berkata, mendapat maklumat awal dengan mengatur persempadanan semula adalah dua perkara berbeza.
"Jika kita mendapat maklumat awal, tidak semestinya UMNO dan BN yang mengatur persempadanan semula untuk mengukuhkan kuasa seperti mana tuduhan Sivarasa.
"Dan jika benar BN terbabit dalam mengatur persempadanan semula oleh SPR selama ini, sudah pastinya BN tidak akan membiarkan negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pihak pembangkang.
"Saya yakin, jika BN mengatur semua persempadanan semula, maka Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Sivarasa sendiri tidak akan merasa untuk mentadbir negeri ini," katanya.
Beliau berkata, isu menuduh BN terbabit dalam mengatur persempadanan semula adalah modal berulang kali digunakan oleh pembangkang setiap kali berlakunya persempadanan semula, namun hakikatnya tidak begitu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment