'Bukan kuasa Kerajaan Persekutuan'

Saturday, March 31, 2018

'Bukan kuasa Kerajaan Persekutuan'

'Bukan kuasa Kerajaan Persekutuan'

BUTTERWORTH: Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer (km) dianggar bernilai RM6.3 bilion yang dirangka Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata projek yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth itu tertakluk sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai bidang kuasa mengambil sebarang tindakan ke atas keseluruhan projek terbabit, termasuk isu berkaitan syarikat tujuan khas (SPV) dilantik bagi pelaksanaannya yang dijangka pada 2023.

"Ini (projek terowong dasar laut) bukan projek dirangka Kerajaan Persekutuan, justeru sebarang tindakan membatalkannya adalah di luar bidang kuasa kita.


Butterworth 30 MAC 2018. Timbalan Presiden MCA merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) bersama Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng (dua dari kanan) ketika hadir pada program Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 di Dewan Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong, Butterworth, Pulau Pinang. STR/AMIR IRSYAD OMAR


BUTTERWORTH 30 MAC 2018. Sebahagian orang ramai yang hadir pada program Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 di Dewan Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong, Butterworth, Pulau Pinang. STR/AMIR IRSYAD OMAR

"Kerajaan negeri adalah pihak yang mengurniakan projek ini kepada SPV dan ia menjadi perkara khusus dalam bidang kuasa mereka.

"Kerajaan negeri mempunyai kuasa dan perlu melakukan apa-apa inisiatif sekiranya projek ini mahu dibatalkan, termasuk tindakan ke atas SPV dan perkara berbangkit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 anjuran MCA negeri yang disertai lebih 2,000 hadirin di sini, malam tadi.

Forum itu turut membariskan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong; Pengerusi MCA negeri, Datuk Tan Teik Cheng dan Setiausaha MCA Pulau Pinang, Dr Tan Chuan Hong sebagai ahli panel.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, tidak menghadiri ceramah berkenaan dijemput melalui pelbagai platform.


BUTTERWORTH, 30 Mac -- Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan) bersama Pengerusi MCA Negeri Datuk Tan Teik Cheng (kiri) pada Program Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 di Dewan Persatuan Tan Si Eng Chuan Tong malam ini.--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ka Siong turut menempelak tindakan Guan Eng mencabarnya bertanding di Parlimen Bagan, sekiranya mahu berdebat mengenai kontroversi projek terowong dasar laut itu.

"Ini hanya satu lagi alasan beliau (Guan Eng) kerana tidak mahu mendedahkan perkara sebenar mengenai pelaksanaan projek mega ini dan ia tidak masuk akal.

"Bayangkan jika ada mana-mana pihak bertanya sesuatu kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

"Apakah mereka juga perlu bertanding di kawasan diwakili dua pucuk pimpinan itu pada pilihan raya," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment