Lelaki menyamar pegawai kanan imigresen ditahan
PUTRAJAYA: Lelaki yang menyamar pegawai kanan imigresen berpangkat Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) dan memperdaya orang ramai dengan mengenakan bayaran sehingga RM5,000 bagi setiap permohonan dokumen imigresen yang 'dipohon', diberkas di Bandar Sunway, Selangor, semalam.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan ketika menunggu pelanggan di sebuah restoran makanan segera, jam 12.15 tengah hari.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ketika ditahan, suspek yang menggunakan nama samaran James Tay memakai uniform Jabatan Imigresen berpangkat TPPK dan berada dalam kenderaannya.
Beliau berkata, lelaki terbabit dipercayai sudah menjalankan kegiatan itu sejak lima tahun lalu sebelum berjaya dikesan Jabatan Imigresen dan ditangkap.
"Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek, kita menjumpai lima kad kuasa Jabatan Imigresen, lima kad jabatan dan sembilan salinan Pas Khas yang disyaki palsu.
"Selain itu, siasatan di rumah suspek di Puchong Jaya turut menemui sembilan uniform Jabatan Imigresen, satu pasport Indonesia, satu Sijil Perjalanan Laksana Pasport, sejumlah uniform imigresen, dokumen permohonan pekerja asing, tujuh kad kuasa imigresen serta 13 pas jabatan ini," katanya.
Mustafar berkata, modus operandi yang digunakan suspek dengan mengiklankan perkhidmatannya di laman sosial seperti Facebook dan Instragram serta meyakinkan dan memperdaya mangsa untuk berurusan dengannya.
"Suspek berjanji dengan mangsa, dia boleh membantu mangsa mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dengan caj bayaran RM3,000 hingga RM5,000 bagi satu permohonan.
"Mangsa hanya mengetahui bahawa PLKS itu adalah palsu selepas ditangkap Jabatan Imigresen.
"Kebanyakan mangsa adalah warga asing dan majikan yang ingin mendapatkan PLKS dengan mudah atau mereka yang bermasalah seperti PLKS tamat tempoh atau lari daripada majikan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh pakaian dan aksesori pakaian Jabatan Imigresen menyerupai asli.
"Kita juga sedang menyiasat jika wujud rangkaian bagi kegiatan ini, namun kita sudah pastikan ia tidak membabitkan orang dalam," katanya.
Mustafar meminta orang ramai yang menjadi mangsa suspek tampil memberi keterangan sebelum pihaknya sendiri menjejaki mereka.
"Saya juga mahu mengingatkan orang ramai supaya berurusan terus dengan pejabat imigresen dan tidak menggunakan orang tengah bagi mengelakkan ditipu," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment