Kaimsam, Kuantan dan Tanjong Bako jadi bandar perikanan
SHAH ALAM: Kaimsan di Wilayah Persekutuan Labuan; Kuantan, Pahang dan Tanjong Bako, Kuching bakal menjadi bandar perikanan yang dilengkapi infrastruktur berteknologi tinggi dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata ketiga-tiga kawasan itu menjadi fokus utama program transformasi nelayan seperti yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Seperti Perth di Australia dan San Francisco di Amerika Syarikat, kedua-dua bandar ini bukan sahaja menjadi pusat penangkapan ikan, tetapi peralatan perikanan juga mempunyai teknologi terkini.
"Pemilihan tiga kawasan sebagai bandar perikanan negara dibuat berdasarkan pendaratan ikan tertinggi. Malah pelabuhan perikanan di Tanjung Bako yang sudah hampir siap pembinaannya adalah terbesar di Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan Tinggi Negara Tahun 2018 Zon Selangor - Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.
Karnival itu bertujuan menyebarkan maklumat dalam kalangan pelajar sekolah, guru dan ibu bapa mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan universiti awam, universiti swasta, politeknik, kolej komuniti dan pelbagai institusi lain.
Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, kewujudan bandar perikanan tidak boleh dikaitkan dengan penentuan harga ikan di negara ini.
"Perkara ini saya ingin jelaskan dengan sebaiknya kepada masyarakat. Kewujudan bandar perikanan tidak menjanjikan penurunan harga ikan di pasaran.
"Ia adalah benda berbeza berikutan harga ikan dipengaruhi pelbagai faktor seperti jumlah tangkapan ikan, musim tengkujuh dan orang tengah yang memanipulasi harga," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment