Segmen khas tangkis fitnah
KUALA LUMPUR: Inisiatif Barisan Nasional (BN) mewujudkan satu segmen khas untuk menjawab fitnah politik di laman sesawang rasminya, mampu menangkis tohmahan daripada pembangkang terhadap kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata segmen itu juga dapat menjawab serta merungkai semua tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.
Beliau berkata, terlalu banyak berita palsu dan fitnah yang sengaja direka oleh pihak pembangkang terhadap kerajaan BN hingga ia menjadi 'trend' di media sosial.
"Fitnah dan berita palsu itu bukan saja menjejaskan sesebuah kementerian, malah individu tertentu.
"Namun, ada kementerian yang lambat memberi maklum balas (menjawab fitnah) dan ada yang tidak menjawab langsung.
"Justeru, dengan adanya segmen khas ini, fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan dapat dijawab secara berpusat dan lebih cepat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kewujudan segmen khas untuk menjawab fitnah politik yang disediakan di laman sesawang rasmi BN, www.barisannasional.org.my.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, kerajaan BN bukan seperti pihak pembangkang yang tidak dapat dipisahkan dengan berita palsu dan fitnah.
Beliau berkata, kerajaan BN perlu bekerja keras untuk membuktikan kebenaran.
"Segmen menjawab fitnah berkenaan turut membolehkan rakyat Malaysia menyemak sebelum berkongsi berita membabitkan politik yang tidak ditentukan kesahihannya.
" Ia merangkumi berita yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) BN yang menetapkan tempoh maksimum selama empat jam bagi memberi maklum balas terhadap penyebaran berita palsu, Annuar berkata, ia digunakan sebagai panduan asas.
"Kita akan menyemak kesahihan setiap berita palsu yang sampai dengan mana-mana pihak berwajib dan dalam tempoh empat jam, kita akan cuba menjawab semula serta membuat pembetulan.
"Ini bukan sesuatu yang mudah tetapi kita akan cuba penuhi SOP ini supaya dapat memberi pembetulan dengan segera kepada orang ramai khususnya pengguna media sosial ," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment