Buruh, tukang masak edar dadah ditahan

Friday, March 30, 2018

Buruh, tukang masak edar dadah ditahan

Buruh, tukang masak edar dadah ditahan

CHERAS: Seorang buruh ditahan apabila polis menemui lebih 600 gram (g) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM54,100 di sebuah kediaman di Taman United di sini, awal pagi tadi.

Lelaki tempatan berusia 21 tahun disyaki mengedar dadah itu terdahulu ditahan di lobi sebuah apartmen servis di Jalan Klang Lama kira-kira jam 5.52 pagi, sebelum soal siasat terhadapnya membawa kepada penemuan di kediaman lain terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata hasil pemeriksaan di kediaman itu menemui 250 biji pil disyaki ekstasi dan 60 biji pil dipercayai erimin 5.

"Kita juga menemui 247 peket kecil disyaki mengandungi dadah jenis ketamin, sembilan peket disyaki serbuk ekstasi dan satu bungkusan disyaki methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Ghani berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM5,000 daripada suspek dipercayai wang hasil jualan dadah.

Hasil siasatan, katanya, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu 1, Pudu.

"Suspek dipercayai sudah dua kali berurusan dengan lelaki itu dan akan mendapat upah 10 peratus daripada keseluruhan nilai dadah berjaya dijual," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek bagaimanapun tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, polis berjaya menahan seorang tukang masak bersama tujuh peket plastik disyaki berisi serbuk ekstasi 119g dianggarkan bernilai RM840 di Jalan Cheras di sini, malam tadi.

Abdul Ghani berkata, suspek berusia 21 tahun berasal dari Bandar Bukit Tinggi, Klang, ditahan ketika memandu sebuah Toyota Estima bersendirian.

"Hasil siasatan mendapati suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan pada harga RM120 untuk sepeket serbuk ekstasi itu. Mereka sudah tiga kali berurus niaga.

"Semakan mendapati suspek ada satu rekod lampau membabitkan kes mendatangkan kecederaan pada 2015," katanya.

Katanya, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment