Laporan sempadan semula boleh dimuat turun

Saturday, March 31, 2018

Laporan sempadan semula boleh dimuat turun

Laporan sempadan semula boleh dimuat turun

PUTRAJAYA: Orang awam boleh memuat turun salinan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 bermula semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, laporan berkenaan boleh dimuat turun dari laman web SPR di www.spr.gov.my.

Katanya, Dewan Rakyat meluluskan usul Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 dan laporan kajian semula persempadanan berkenaan pada 28 Mac lalu.

"Sehubungan dengan kelulusan oleh Dewan Rakyat, Perintah berkenaan sudah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan untuk berkuat kuasa mulai 29 Mac 2018 selaras dengan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

"Susulan daripada pewartaan Perintah itu, pengemaskinian daerah mengundi sudah dilaksanakan SPR dan diwartakan pada 30 Mac 2018 selaras dengan peruntukan Seksyen 7 (1) dan (2), Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19]," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada Rabu lalu, Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan 129 Ahli Parlimen menyokong dan 80 lagi menolak, selepas pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Berdasarkan laporan kajian persempadanan semula itu, sebanyak 12 nama kawasan Parlimen dipinda, manakala 28 kawasan membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

SPR memaklumkan, nama bagi beberapa bahagian pilihan raya itu perlu dipinda kerana sempadan sudah berubah atau nama asalnya yang sudah tidak sesuai lagi digunakan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment