Pengemis ada `pengawal peribadi'

Thursday, March 29, 2018

Pengemis ada `pengawal peribadi'

Pengemis ada `pengawal peribadi'

KOTA BHARU: Bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa, seorang pengemis cacat fizikal dikesan menggunakan 'pengawal peribadi' bagi melindunginya.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun itu yang cacat tangan dan kaki daripada paras paha ada hubungan dengan individu tertentu yang akan mengangkat serta membawanya lari setiap kali operasi penguatkuasaan.

Bagaimanapun, nasib malang menimpanya hari ini apabila `pengawal peribadinya' tiada ketika Operasi Bersepadu Menyelamat Pengemis dilakukan bermula jam 10.30 pagi hingga jam 1.30 petang tadi.

Operasi itu membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Negeri Bahagian Penguatkuasaan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).

Pengemis itu ketika ditemui berkata, dia mengemis sejak lebih 10 tahun lalu dan pernah ditahan dua kali iaitu pada 2013 dan dalam operasi hari ini.

"Saya sudah menyedari kehadiran mereka (pihak berkuasa) ketika mengemis di Pasar Siti Khadijah, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa dan terpaksa diangkat ke dalam trak bersama pengemis lain.

"Untuk mengemis, saya akan menaiki kereta sewa setiap hari untuk berulang-alik dari rumah di Bachok ke Pasar Siti Khadijah atau Wakaf Che Yeh dan dalam tempoh dua jam, saya mampu dapat RM150," katanya ketika ditemui selepas operasi di Jabatan Imigresen Negeri, di sini, hari ini.

Dia yang mendapat elaun bulanan pekerja cacat berjumlah RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan kecacatan fizikal sebagai alasan untuk meraih simpati.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri, Nazri Hussin, berkata seramai 23 pengemis termasuk tiga kanak-kanak terdiri daripada rakyat tempatan dan warganegara asing diselamatkan dalam operasi berkenaan.

"Operasi bertujuan membanteras aktiviti mengemis, gelandangan, penjualan di kaki lima bank dan premis tanpa lesen perniagaan, serta kutipan derma tanpa kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment