Eksklusif: Mengundi dijangka awal Mei
KUALA LUMPUR: Penantian ini hampir berakhir. Momentum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memasuki pusingan terakhir bulan ini, manakala besar kemungkinan hari mengundi sekitar awal Mei.
Bayangan untuk mengundi pada Mei semakin jelas. Parlimen mungkin dibubarkan seawal akhir minggu depan selepas sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, berakhir pada 5 April.
Sebaik Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Mengikut amalan semasa, pilihan raya umum biasanya diadakan dalam tempoh 29 hari daripada pembubaran hingga hari mengundi.
Ini bermakna pengundian bagi PRU-14 akan diadakan dalam minggu pertama Mei, manakala keputusannya bakal diketahui beberapa jam selepas pengundian ditutup.
Kira-kira 14.8 juta rakyat layak mengundi pada pilihan raya kali ini.
Menjelang hari pengundian, Barisan Nasional (BN) memilih 7 April ini sebagai tarikh mengumumkan manifesto pilihan raya pada perhimpunan besar-besaran di Bukit Jalil, di sini, pada jam 8 malam.
Ia disusuli pengumuman manifesto BN yang hanya memberi tumpuan terhadap generasi muda dinamakan 'Tawaran Baharu Untuk Pengundi Muda' pada 10 April, seperti dinyatakan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, kelmarin.
Kira-kira 30,000 penyokong BN dijangka menghadiri acara pada 7 April itu yang dijadual bermula jam 8 malam dan akan disiarkan secara langsung di televisyen.
Mengikut tradisi, BN mengumumkan manifesto selepas tarikh pilihan raya diketahui.
Ini diikuti pengumuman calon yang diadakan lebih awal sebelum hari penamaan calon.
Jentera BN sedia bekerja keras
Pemimpin dan jentera BN sedia bekerja keras sepanjang bulan ini.
"Suasana menjadi lebih sibuk selepas minggu depan," kata seorang pemimpin kanan UMNO kepada BH.
Seperkara menjadi faktor utama menjelang PRU-14 ialah persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diluluskan di Dewan Rakyat, Rabu lalu.
Ia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan laporan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya Negeri-Negeri Tanah Melayu 2018 itu diwartakan berkuat kuasa 29 Mac lalu.
Dengan pengesahan persempadanan semula, senarai calon dimuktamadkan dan jentera pilihan raya bergerak seperti sewajarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Pembubaran Parlimen boleh diadakan seawal 6 April, sehari sebelum Najib mengumumkan Manifesto BN yang bakal menjadi akujanji partinya untuk lima tahun akan datang.
Ini kali kedua Najib menerajui BN dalam pilihan raya umum selepas genap sembilan tahun menjadi Perdana Menteri pada 3 April ini.
Najib yang mempunyai jadual kerja padat, dijadual menyampaikan ucaptama kepada pegawai kanan kerajaan pada 4 April sebelum ke Sarawak.
Beliau akan menghadiri beberapa majlis di Miri, Marudi dan Bintulu sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 5 April.
Pensyarah kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman, berkata sudah tiba masanya kerajaan mendapatkan mandat baharu daripada pengundi.
"Lagi lama ditangguh, semakin banyak isu timbul, isu palsu yang bukan-bukan muncul," katanya.
"Saya rasa 21 April adalah tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 5 Mei," katanya.
Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, sependapat dalam meramalkan pembubaran Parlimen pada Jumaat ini atas faktor 'hari penuh keberkatan'.
Pakar Strategis Geopolitik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berpendapat 4 April mungkin dipilih Najib untuk membubar Parlimen, sehari selepas menyambut ulang tahun kesembilan menyandang jawatan Perdana Menteri.
"Apa lagi ditunggu selepas Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan dan petunjuk ekonomi yang kukuh.
"Persempadanan (kawasan) adalah pemangkin kepada tarikh bubar (Parlimen). Oleh kerana SPR sudah siap sedia, maka penamaan calon mungkin diadakan seminggu selepas Parlimen dibubar dan tempoh kempen mungkin dalam masa minimum, iaitu 11 hari," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment