Lebih 2,000 hadir ceramah Kisah Benar P Pinang
BAGAN: Lebih 2,000 penduduk di kerusi Parlimen Bagan yang disandang Ketua Menteri, Lim Guan Eng hampa apabila Setiausaha Agung DAP itu tidak hadir pada Ceramah Kisah Benar Pulau Pinang 2.0 di sini, malam tadi.
Malah, dua kerusi disediakan untuk Guan Eng dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dibiarkan kosong selepas kedua-dua mereka dikatakan enggan menghadiri ceramah berkenaan, walaupun jemputan mengenainya disebar luas melalui pelbagai medium.
Orang ramai yang menghadiri ceramah itu, majoritinya daripada masyarakat Cina tertarik dengan ucapan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai kontroversi projek mega terowong dasar laut.
Sambutan hebat turut diberikan kepada ucapan ahli panel lain, membabitkan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong dan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng yang juga membincangkan mengenai kontroversi sama.
Semalam, Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencabar Kit Siang untuk menghadiri ceramah berkenaan bagi menafikan hasil penemuan MCA berhubung skandal terowong dasar laut bernilai RM20.5 bilion.
Projek terowong dasar laut kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan fokus siasatan membabitkan kos pelbagai kajian bernilai RM305 juta dan kelewatan pelaksanaannya menjangkau lebih 22 bulan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment