Calon nomad rugikan pengundi

Saturday, March 31, 2018

Calon nomad rugikan pengundi

Calon nomad rugikan pengundi

PASIR GUDANG - Pengundi dinasihatkan supaya membuat pilihan bijak pada PRU14 dengan menolak calon nomad seperti yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad berkata, calon seumpama itu hanya timbul bila musim pilihan raya dan kemudian lesap selepas menang mahu pun kalah.

Menurutnya, jika pengundi memenangkan calon nomad, mereka akan rugi besar kerana wakil rakyat itu tidak memberikan khidmat kepada rakyat di kawasan tersebut.

“Calon nomad inilah yang menjadi duri dalam daging kepada rakyat. Mereka akan muncul hanya lima tahun sekali, selepas itu hilang.

“Kalau pengundi pilihan calon nomad sebagai wakil rakyat, mereka akan rugi sebab tak dapat apa-apa bantuan kecuali hanya dapat janji-janji kosong,” katanya.

Normala yang juga Ketua Wanita Umno Pasir Gudang berkata, oleh itu pengundi perlu memilih calon atau wakil-wakil rakyat yang sudah terbukti sudah membuat kerja sejak sekian lama kepada rakyat dan bukan bekerja ikut musim.

Katanya, oleh itu kriteria penentuan calon bagi setiap parti penting untuk memastikan pengundi dapat membuat pilihan yang terbaik pada hari pengundian nanti.

“Sebab itulah calon-calon mesti yang sudah ada track record memberi khidmat terbaik dan sepanjang masa kepada rakyat, bukan hanya tunjuk muka bila nak bertanding saja.

“Pengundi memilih wakil rakyat yang boleh membantu mereka dari segenap aspek tapi calon nomad macam mana nak berkhidmat?,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengajak rakyat menolak dan tidak memberi muka kepada calon nomad iaitu wakil rakyat yang sering bertukar kawasan dalam tempoh lima tahun tanpa meninggalkan manfaat, sebaliknya kerugian.

Selain itu, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled yakin jenteranya tidak berdepan masalah untuk meleburkan angan-angan kosong pembangkang untuk menakluk negeri ini.

Menteri Besar memberitahu negeri ini bukan negeri untuk pemimpin pembangkang yang kecewa dalam politik dan bersifat nomad setiap kali pilihan raya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment