Pahang akan wujudkan perkampungan Tenun Diraja

Saturday, March 31, 2018

Pahang akan wujudkan perkampungan Tenun Diraja

Pahang akan wujudkan perkampungan Tenun Diraja

KUALA LUMPUR: Sebuah perkampungan Tenun Diraja akan dibangunkan di Pahang bagi memartabatkan industri tenunan yang menjadi fabrik kebanggaan negeri itu.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bertitah perkampungan berkenaan dijangka menjadi pusat pembangunan yang turut menempatkan seramai 134 bekas banduan berkemahiran menenun.

Titah baginda, mereka akan ditempatkan di situ, untuk membolehkan mereka terus memberikan didikan kepada generasi muda dalam membangunkan produk berkenaan.

"Ia dibina atas keprihatinan beta terhadap usaha Tengku Puan Pahang memartabatkan produk Tenun Diraja Pahang selama ini.

"Saya harap kerajaan yang memberi persetujuan untuk membangunkan industri berkenaan, buat jangka panjang," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD) dan buku "Tenun Pahang Diraja: A Fashion Tradition" di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom dan Pengerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Yayasan itu ditubuhkan bagi membangun, mengkomersial, memelihara dan memulihara perusahaan Tenun Pahang Diraja sebagai satu perusahaan kraf warisan yang dinaungi Istana Pahang.

Buku itu yang ditulis bersama Tunku Azizah dan Pengarah Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Datuk Ahmad Farid Abd Jalal, menceritakan sejarah bermulanya industri tenun di Pahang serta pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi untuk membawanya ke tahap sekarang.

"Buku ini mengambil masa lima tahun untuk menghasilkannya kerana ia membabitkan kajian yang lama," kata Ahmad Farid dan menambah buku itu dijual pada harga RM350 senaskhah.

Katanya, hasil jualan buku itu akan disalurkan, masing-masing 50 peratus kepada YTPD dan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan fesyen daripada pereka fesyen tempatan, Sharifah Kirana dan Datuk Rizalman Ibrahim yang menggunakan kain Tenun Pahang Diraja dalam koleksi busana mereka selain pereka fesyen Indonesia, Didiet Maulana yang terkenal dengan penggunaan kain tenun teknik ikat dalam rekaannya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment