2 sekolah terima sumbangan buku PT3, SPM

Thursday, March 29, 2018

2 sekolah terima sumbangan buku PT3, SPM

2 sekolah terima sumbangan buku PT3, SPM

KUALA KUBU BHARU: Pelajar dua sekolah di sini gembira menerima sumbangan set buku peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil sumbangan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP, hari ini.

Dua sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedangsa dan SMK Kampong Soeharto.

Seramai enam wakil Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP diketuai oleh Ketua Komunikasi Korporat NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, hadir menyampaikan sumbangan lebih 200 set buku berkenaan kepada kedua-dua sekolah itu.

Calon SPM di SMK Gedangsa, Muhammad Hasmil Ilham, 17, berkata sebagai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, sumbangan buku itu memang amat dihargai.

"Saya datang daripada keluarga kurang berkemampuan, justeru hendak membeli buku pun adakala perlu berkira-kira. Apabila mendapat sumbangan buku seperti ini, pasti menggembirakan.

"Lagipun jika berpeluang membeli buku, kena pergi jauh ke Tanjung Malim kerana bukan semua keperluan itu ada di pekan terdekat," katanya.

Pelajar SMK Kampong Soeharto, Subha Arumugan, 17, berkata walaupun berkemampuan membeli buku sendiri, beliau gembira sumbangan itu dapat membantu rakan yang memerlukannya.

"Sumbangan seperti ini pasti dinanti-nantikan oleh semua rakan saya. Bukan semua dalam kalangan kami berkemampuan membeli buku keperluan belajar.

"Lebih-lebih lagi, sekolah kami jauh di pedalaman. Terima kasih kepada Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP kerana sudi datang dari jauh untuk memberi sumbangan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran SMK Gedangsa, Shukri Saleh, berkata sumbangan berkenaan amat besar maknanya, terutama kepada pelajar kurang berkemampuan.

"Kebanyakan pelajar di sini datang daripada keluarga bukan senang, justeru tidak semua mampu membeli buku latihan atau tambahan.

"Pemberian ini juga sangat bermakna kepada sekolah kerana akan menambah lagi bahan rujukan semua pelajar kami," katanya.

Penolong Kanan Kokurikulum SMK Kampong Soeharto, Khairuman Hamim, pula berkata sumbangan itu diharap dapat membantu calon PT3 dan SPM tahun ini.

"Semoga buku diberi ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua pelajar.

"Harapan saya ialah ia akan membantu merealisasikan impian masing-masing untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment