Pemuda UMNO bukan cabar debat isu lapuk
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO kecewa dengan penolakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap cabaran untuk berdebat berkenaan isu perumahan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin, berkata cabaran 'Debat Isu Perumahan' bukan isu yang sengaja dibangkitkan menjelang pilihan raya.
"Ini bukan isu lapuk atau isu yang hampir dengan bulan pilihan raya umum, tetapi (persoalannya) kenapa Menteri Besar Selangor batalkan sembilan projek perumahan dekat dengan bulan pilihan raya," katanya dalam kenyataan di sini.
Nazir Hussin berkata, isu perumahan adalah keperluan rakyat Selangor dan pihaknya memperjuangkan hak orang muda yang kurang berkemampuan memiliki rumah mampu milik di Selangor dan Pulau Pinang.
Katanya, orang muda yang baru bekerja atau kurang daripada lima tahun tidak mampu membeli rumah berharga lebih RM500,000 seunit.
"Inikah yang dikatakan Kerajaan Prihatin," katanya.
Selain itu, Nazir Husin berkata, lebih menyukarkan orang muda membeli rumah adalah langkah institusi perbankan mengetatkan syarat pinjaman termasuk keperluan pendapatan RM8,000 sebulan untuk mendapatkan pinjaman lebih RM8,000.
"Dengan ini, sampai bilakah orang muda yang berpendapatan rendah (bawah RM4,000 sebulan) akan mampu memiliki rumah di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO sekali lagi memberikan cabaran terhadap kedua-dua pemimpin tertinggi di Selangor dan Pulau Pinang untuk berdebat berhubung isu perumahan.
Katanya, jika Pemuda UMNO tidak mempertahankan sembilan tapak projek perumahan yang dibatalkan oleh Kerajaan Selangor baru-baru ini, maka kemungkinan tapak berkenaan akan dibina 'rumah mampu lihat' sahaja.
Petang tadi, Azmin dilaporkan berkata, pihaknya tidak perlu membuat keputusan mengenai pelawaan debat daripada Pemuda UMNO, walaupun kerajaan negeri sebelum ini dilapor membatalkan sembilan projek perumahan mampu milik di bawah Skim Rumah SelangorKu.
Azmin turut menegaskan rakyat negeri itu sudah tahu mengenai fakta sebenar isu itu. Beliau turut membayangkan pelawaan debat Pemuda UMNO itu seolah-olah tidak setaraf dengan kedudukannya.
Mengulas lanjut, Nazir Husin berkata, penolakan Azmin Ali untuk berdebat membuktikan beliau gagal menangani isu perumahan di Selangor.
Justeru, katanya, pihaknya mencadangkan satu penganjuran Forum Khas: Isu Perumahan di Selangor dan Pulau Pinang diadakan oleh mana-mana pihak.
Penganjur disaran menjemput Menteri Besar Selangor, Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir dalam forum khas itu.
"Jika mereka tidak dapat hadir, wakil dalam kalangan EXCO Perumahan atau agensi perumahan kedua-dua Kerajaan Negeri boleh mewakili mereka," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment