Tiga pegawai Bukit Aman ke Bangkok

Friday, March 30, 2018

Tiga pegawai Bukit Aman ke Bangkok

Tiga pegawai Bukit Aman ke Bangkok

BANGKOK, THAILAND รข€" Tiga pegawai Bukit Aman kini berada di Bangkok untuk menyoal siasat dua lelaki rakyat Malaysia yang ditahan bersama 700 kilogram dadah jenis "Ice" (Crystal Methaphetamine) di Hatyai dua hari lepas.

Kehadiran tiga pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Bangkok telah disahkan oleh ketua Biro Anti Narkotik Thailand (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk.

"Kami, NSB mengalu-alukan pasukan dari Bukit Aman untuk menyoal siasat suspek rakyat Malaysia. Kami (NSB dan JSJN) sentiasa bekerjasama dalam usaha memerangi dadah,"  kata beliau kepada Bernama, hari ini dan menambah ia membuktikan kerjasama yang baik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata ketiga-tiga pegawai polis dari Malaysia itu tiba di Bangkok lewat malam tadi dan dijadual mula menyoal siasat kedua-dua suspek, berusia 34 dan 49 tahun di ibu pejabat NSB hari ini sebelum pulang esok.  

Bernama difahamkan bahawa kedua-dua lelaki itu telah dipindahkan ke ibu pejabat NSB di Bangkok dari Hatyai sebelum ini.

NSB juga mengangkut dadah yang dirampas dari Hatyai di selatan Thailand ke ibu pejabatnya di Bangkok dan mereka dijangka memanggil sidang media minggu depan untuk mengumumkan kejayaan satu daripada rampasan dadah terbeser tahun ini.

Kedua-dua rakyat Malaysia itu ditahan polis yang menyamar ketika mereka leka memunggah dadah dari sebuah lori mengangkut  nanas dan tembikai ke sebuah rumah sewa digunakan sebagai gudang sebelum menyeludup dadah tersebut merentasi sempadan ke Malaysia.

Polis Thailand juga menahan pemandu lori dan seorang lelaki warga Thailand disyaki adalah rakan sejenayah kepada kedua-dua rakyat Malaysia itu.

Pegawai penyiasat  percaya kedua-dua suspek rakyat Malaysia itu bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket dadah transnasional dan soal siasat  pegawai Bukit Aman hari ini dijangka tertumpu pada identiti dalang bagi salah satu percubaan paling berani untuk menyeludup 700 kg "Ice" ke Malaysia.

"Mereka (pegawai Malaysia) dijangka terus menyoal siasat kedua-dua lelaki tersebut selama berjam-jam mengenai dalang sindiket itu," kata satu sumber.

Pegawai penyiasat juga memberitahu sejumlah besar dadah yang dirampas dari kedua-dua lelaki rakyat Malaysia di Hatyai menunjukkan sindiket dadah mendalangi percubaan yang gagal itu adalah 'pemain besar' dalam kalangan sindiket antarabangsa.

Mereka juga percaya sebahagian besar daripada dadah 'Ice' yang dirampas itu bertujuan untuk pasaran antarabangsa dan serantau. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment