Harimau Malaya sedia ratah Bhutan

Thursday, March 29, 2018

Harimau Malaya sedia ratah Bhutan

Harimau Malaya sedia ratah Bhutan

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan sudah bersedia menamatkan kemarau kemenangan dalam 12 perlawanan apabila menyasarkan untuk menjadikan Bhutan sebagai 'mangsa pertama' pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak mengakui skuad Harimau Malaya akan turun dengan keazaman tinggi dan berjuang habis-habisan bagi mengelak daripada terus 'kempunan' menentang pasukan yang menghuni ranking ke-188 dunia itu.

Malah, pemain sayap Kuala Lumpur itu mengharapkan rakan sepasukan dapat mengekalkan rentak sama dan turun dengan mentaliti untuk menang seperti yang diperagakan ketika bertemu Lubnan, kelmarin.

"Kami menanam mentaliti untuk menang sebelum bertemu Lubnan, jadi itulah yang membuatkan semangat pemain tinggi namun tuah tidak menyebelahi kami. Kami akan teruskan momentum ini dan memperbaiki lagi kelemahan yang ada.

"Saya percaya jika kami mengekalkan prestasi sama ketika menentang Lubnan, tidak mustahil kami meraih kemenangan ke atas Bhutan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Pada masa sama, Zaquan turut menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan yang berjaya mencipta keserasian dengan baik meskipun berdepan kekangan masa untuk melakukan persiapan.

"Walaupun hanya sempat berlatih dua hari, pemain berjaya menyesuaikan diri dan memberi tentangan kepada Lubnan.

"Sebenarnya, tidak mudah berlatih dalam masa singkat dan kemudiannya bertemu lawan yang sukar di tempat mereka. Jadi, saya sanjung semangat perjuangan rakan," katanya.

Pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut kelmarin, 'barisan kedua' Malaysia nyaris merentap ego Lubnan sebelum tunduk 1-2 menerusi jaringan minit akhir lawan.

Meskipun tewas, skuad kebangsaan yang dibarisi 'generasi baharu' itu memperagakan aksi yang jauh lebih baik dan memberangsangkan berbanding ketika seri 2-2 bertemu Mongolia dalam aksi persahabatan di laman sendiri, minggu lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment