JKN Kedah nafi viral ibu mengandung tak dilayan

Saturday, March 31, 2018

JKN Kedah nafi viral ibu mengandung tak dilayan

JKN Kedah nafi viral ibu mengandung tak dilayan

KUALA LUMPUR: Hospital Langkawi membuat laporan polis berhubung video viral seorang jururawat dikasari suami seorang pesakit.

Video yang dimuat naik menerusi Facebook, Muhammad Izat Marican menunjukkan suami pesakit yang hendak bersalin memarahi seorang jururawat kerana mendakwa isterinya tidak mendapat layanan perubatan daripada pihak hospital.

Video itu kemudian dikongsi oleh Facebook, Langkawi Sana Sini dengan keterangan yang berbunyi, 'Hospital Langkawi paling teruk di dunia. Tiada Dr. dalam Dewan bersalin'. Perkongsian itu terus menjadi viral dengan lebih banyak perkongsian dan 'like'.

Mengulas isu itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata pihaknya memandang serius tuduhan tidak berasas itu.

"Siasatan kami mendapati seorang wanita mengandung 37 minggu hadir ke Dewan Bersalin Hospital Langkawi jam 2:20 pagi, hari ini (semalam) bersama suami untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami sakit seperti hendak bersalin.

"Dia diperiksa jururawat bertugas terlebih dulu dan beberapa ujian dibuat termasuk ujian air kencing dan cardiotocography (CTG). Pemeriksaan awal mendapati kes wanita itu bukanlah kes kecemasan, namun mempunyai beberapa faktor risiko yang perlu diperiksa oleh pegawai perubatan serta Pakar Perbidanan dan Sakit Puan," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Norhizan berkata, bagaimanapun ketika itu pegawai perubatan serta Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang bertugas atas panggilan terpaksa menghadiri kes kecemasan di dewan bedah bagi mengendalikan kes ibu selepas bersalin yang mengalami tumpah darah untuk pembedahan segera sebelum selesai jam 4.52 pagi Sabtu.

"Pesakit dan waris perlu memahami sistem tugasan pakar di hospital yang bekerja atas panggilan selepas waktu pejabat kerana sistem digunapakai di hospital sama ada pakar dan bukan pakar seperti perkhidmatan waktu pejabat iaitu keutamaan sentiasa diberi bagi kes kecemasan," katanya.

Selain itu, Norhizan berkata, mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di premis Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah dilarang sama sekali termasuk melakukan kekerasan terhadap anggota kesihatan sama ada kekerasan fizikal, lisan ataupun bertulis termasuk di media sosial.

"Tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berwajib terutama membabitkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan Malaysia [Akta 574] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan seksyen dan subseksyen tertentu bergantung kepada jenis kesalahan.

"Pihak JKN Kedah memandang serius tindakan dilakukan individu itu selaras dengan kepatuhan terhadap Garis Panduan Mencegah dan Menangani Kekerasan Terhadap Anggota di Fasiliti KKM dan Surat Edaran Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 1 Mac 2017 mengarahkan penggunaan tanda larangan membuat rakaman video dan gambar di fasiliti KKM.

"Hargailah perkhidmatan perubatan dan kesihatan diberikan. Bantulah kami untuk membantu anda dan hentikan kekerasan terhadap warga kesihatan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment