Empat penyu ditemui mati akibat pencemaran

Thursday, March 29, 2018

Empat penyu ditemui mati akibat pencemaran

Empat penyu ditemui mati akibat pencemaran

KOTA TINGGI - Empat ekor penyu ditemui mati terdampar di sepanjang pesisir pantai Tuan Syeh ke Kuala Sedili Kecil dipercayai akibat pencemaran minyak yang berlaku.

Ketua Cawangan Perlindungan Sumber Johor, Yusni Mohd Yusoh berkata, kejadian pagi tadi melibatkan seekor penyu spesies agar yang dijumpai mati terdampar kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya turut menerima aduan daripada penduduk tentang penemuan tiga bangkai penyu minggu lalu.

“Selepas ke lokasi aduan dan membuat siasatan diketuai pegawai penyiasat, Jurin Makapun, pihak kami mendapati tiga penyu spesies agar mati membusuk dipercayai mungkin disebabkan pencemaran air.

“Ia berikutan terdapat sisa tompokan minyak di pesisir pantai namun tiada kesan luka, calar serta gores pada bangkai penyu ditemui.

“Selain penyu terdapat juga spesies marin lain seperti ikan mati di sepanjang pantai berkenaan. Pagi tadi kami sekali lagi menerima kes yang sama,” katanya.

Yusni berkata, siasatan dijalankan pasukan dari Cawangan Perlindungan Sumber, Jabatan Perikanan Johor.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes berkenaan juga dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar Johor.

“Kita juga mohon kerjasama nelayan atau penduduk setempat yang menjumpai kes seumpama ini agar segera melaporkan ke Pangkalan Perlindungan Sumber Sedili untuk tindakan selanjutnya,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment