Limpahan rezeki buat penduduk Pengerang
PENGERANG, Kota Tinggi, Johor yang dahulunya sebuah kawasan perladangan dan kampung nelayan, kini berubah wajah dan semakin pesat dengan adanya projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Kompleks itu kelak bakal menempatkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang dimajukan oleh Petronas dan dijangka siap pada suku pertama 2019.
Pembangunan PIC bukan sahaja memberi kesan menyeluruh di kawasan itu, malah limpahan ekonomi hiliran kepada komuniti setempat sekali gus memberi impak positif kepada taraf ekonomi penduduk.
Ini dapat dilihat melalui perniagaan pasar malam di tapak disediakan Petronas berhampiran PIC.
Selain itu, kewujudan projek pembangunan itu juga menggalakkan industri lain berkembang antaranya jahitan dan kraf tangan melibatkan golongan wanita dan ibu tunggal melalui inisiatif digerakkan Persatuan Peniaga dan Usahawan Kejora (PuPUK) dengan menubuhkan MyCraft.
Turut mendapat manfaat ialah belia tempatan yang memiliki peluang pekerjaan dan dividen melalui Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopetri), yang menjadi pengedar tunggal minyak pelincir bagi kegunaan kenderaan komersil dan mesin industri berat di PIC.
Pasar malam lonjak pendapatan komuniti setempat
Pembukaan pasar malam berhampiran tapak PIC oleh Petronas melalui kerjasama Koperasi Jaya Teluk Ramunia (Kojaya) memberi peluang penduduk setempat yang terlibat dengan pengambilan tanah memperoleh manfaatnya.
Ia adalah inisiatif Petronas ke arah pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan operasinya selain memberi khabar gembira buat 60,000 pekerja daripada 65 negara yang tinggal di situ.
Diadakan tiga kali seminggu, setiap Rabu, Sabtu dan Ahad, tapak yang disediakan itu memberi ruang kepada 52 peniaga menjual pelbagai menu makanan, minuman, pakaian, gajet dan juga perkhidmatan kiriman wang.
Menurut Pengerusi Kojaya, Syed Bahrim Syed Ibrahim, sejak dibuka pasar malam ini memberi peluang komuniti setempat untuk terlibat dalam peniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan yang menguntungkan.
âPada awalnya, ramai peniaga ber-mula satu khemah, bertambah dua, tiga dalam tempoh beberapa bulan.
âAda yang hanya menyewa, tapi selepas itu mampu beli kenderaan sendiri dan purata pendapatan mereka sehari mampu menjangkau RM2,000 hingga puluhan ribu bergantung kepada jenis perniagaan,â katanya.
Kurang hijrah ke bandar
Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan sehingga membolehkan peniaga mengajikan beberapa pekerja di kalangan belia setempat.
âUntuk berniaga di sini mereka mestilah penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah dan merupakan penduduk asal Pengerang. Kita juga ambil kira keupayaan mereka menyediakan makanan memandangkan jumlah pekerja yang ramai,â katanya.
Di sini juga katanya, peniaga perlu mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan, di mana ada pemantau Petronas bagi memastikan makanan selamat dan bebas keracunan. Harga turut dipantau dan mesti dipamerkan.
Bliau menzahirkan harapan selepas projek PIC siap kelak, peniagaâ"peniaga ini diberikan ruang dan peluang berniaga di lokasi yang lebih strategik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Belajar bahasa asing
Seorang anak muda, berkelulusan Diploma Elektronik daripada Politeknik Pasir Gudang, Johor Bahru, Hazlami Hussin, 28, tidak menyangka akan bergelar usahawan pasar malam.
Dengan modal RM4,000 sebagai permulaan, Hazlami menjual ayam gunting, sotong dan sosej di tapak pasar malam yang disediakan Petronas.
âPada awalnya saya berniaga seorang diri dengan membuka satu khemah , memandangkan permintaan menggalakkan, saya mengaji lima pekerja.
âPermintaan begitu menggalakkan terutamanya pekerja daripada China. Ia seolah-olah menu baharu bagi mereka. Dalam sehari saya boleh menjual sekurangnya-kurangnya 250 ketul ayam, 250 sotong dan 250 sosej,â katanya.
âMelalui perniagaan dapat mengubah taraf kehidupan menjadi lebih baik dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada belia lain.
âSaya juga belajar berbahasa asing untuk memudahkan komunikasi dengan pelanggan di sini,â katanya yang turut berniaga di pasar tani berhampiran.
Peluang jana pendapatan
Mustaffa Yaakob, 35, mengakui berniaga di tapak pasar malam disediakan Petronas lebih untung berbanding berniaga di luar.
Dia yang berniaga apam balik dengan pelbagai pilihan inti, asalnya menjual 15 hingga 20 kilogram apam balik tetapi kini bertambah memandangkan permintaan yang menggalakkan.
âSekarang saya mampu menjual 30 hingga 35 kilogram dengan keuntungan bersih sekitar RM300 ke RM350 pada hari Rabu dan boleh mencecah RM500 pada Sabtu dan Ahad,â katanya.
Dikenali ramai sebagai Kaklong, Raziah Bachok, 53 pula berpandangan, peluang berniaga di tapak pasar malam Petronas memberi pendapatan tambahan kepadanya.
Beliau yang mempunyai kedai di luar, menjual nasi ayam penyet dan lontong kering mendapat permintaan ramai terutamanya kalangan pekerja tempatan dan Indonesia.
âSaya mula berniaga di pasar malam ini pada Disember tahun lalu. Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Saya menyediakan semuanya sendiri dibantu dengan dua pekerja,â katanya yang sibuk melayan pembeli di gerai jualannya.
Menurutnya, dia memperoleh untung kasar sekitar RM1,500 sehari.
âBiasanya kalau Sabtu dan Ahad lebih ramai pelanggan berbanding Rabu," katanya.
MyCraft platform usahawan
Menyedari seni jahitan dan kraftangan boleh menjana pendapatan buat komuniti setempat, Persatuan Peniaga dan Usahawan Kejora (PuPUK) menubuhkan MyCraft.
Pengerusi MyCraft, Norida, Dahlan berkata, ia platform kepada komuniti di Pengerang dalam mengetengahkan produk seni supaya lebih berdaya saing di pasaran terbuka.
Beliau berkata, sebelum kewujudan Mycraft, penduduk bergerak secara individu dan mempunyai pasaran terhad untuk memasarkan produk yang dihasilkan.
âMereka ini ada kemahiran tertentu dan mempunyai perniagaan kecil-kecilan tetapi tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
âMaka peranan kami mengumpulkan mereka ini di bawah MyCraft dengan memberi mereka latihan dan kursus melalui tenaga pengajar berkemahiran untuk mempelbagaikan lagi teknik dan kemahiran seterusnya menggalakkan mereka menjadi usahawan mikro,â katanya.
Norida berkata, pelbagai jahitan dan kraf tangan dihasilkan antaranya pakaian, telekung, beg, patung dan kesemua itu turut dipromosikan melalui kerjasama Kraftangan Malaysia.
Sehingga kini, seramai 30 ahli yang menyertai MyCraft, di mana 40 peratus daripadanya adalah kalangan ibu tunggal dan hanya sebilangan kecil kaum lelaki.
Beliau berkata, pembangunan di kawasan Pengerang yang semakin meningkat melalui projek PIC Petronas juga memberi tempias kepada MyCraft untuk menjana pendapatan tambahan kepada ahlinya.
âKami membekalkan cadar, sarung bantal dan langsir kepada pihak Petronas. Ini memberi pendapatan tambahan sehingga RM700 ke RM900 sebulan kepada setiap ahli kami,â katanya.
Selain itu, kami juga diberi peluang untuk menyediakan pakaian sekolah dalam Program Back to School anjuran Petronas.
Kopetri pengedar tunggal minyak pelincir untuk PIC
Bagi mengukuhkan jualan bahan pelincir di Pengerang, Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) melantik Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopetri) sebagai pengedar tunggal bagi kegunaan kenderaan komersil dan mesin industri berat di PIC.
Sejak dilantik September lalu, Kopetri merekodkan jumlah jualan sebanyak RM180,000 setakat Disember dan pada tahun ini, menyasarkan jumlah jualan bernilai RM1.5 juta.
Selain itu, koperasi anak tempatan yang ditubuhkan sejak Mei 2012 itu, juga diberi kepercayaan baru-baru ini menjadi operator pembersihan kenderaan yang digunakan di dalam PIC serta menjadi pihak yang mengurus kiriman wang asing di dalam projek pembangunan itu.
Menurut Pengerusi Kopetri, Aznan Tamin, ia merupakan tanggungjawab besar dalam memberikan yang terbaik atas peluang yang diberikan oleh Petronas dalam merangsang sosioekonomi penduduk setempat.
Beliau berkata, Kopetri kini mempunyai 150 ahli yang terdiri daripada golongan belia, di mana 50 peratus daripadanya adalah mereka yang terlibat dengan pengambil tanah projek PIC.
âDi samping menjadi ahli Kopetri yang memperoleh dividen tahunan, ada juga dalam kalangan mereka ini bekerja dengan Kopetri di gudang operasi serta pembersihan kenderaan di PIC,â katanya.
Mengulas mengenai sasaran jualan pada tahun ini, Aznan berkeyakinan jumlah itu mampu dicapai dengan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli Kopetri.
âSetakat Februari ini, kita telah mencatat jualan sebanyak RM300,000. InsyaALLAH dengan semangat 200 peratus bekerja dalam satu kumpulan serta nama besar Petronas yang dibawa mampu mencapai sasaran jualan RM1.5 juta,â katanya.
Minyak pelincir itu termasuk dalam bentuk minyak gear, enjin dan hidraulik yang menggunakan jenama Petronas Urania.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment