Jangan tangguh kes tanpa sebab munasabah - Tun Raus

Friday, March 30, 2018

Jangan tangguh kes tanpa sebab munasabah - Tun Raus

Jangan tangguh kes tanpa sebab munasabah - Tun Raus

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif mengingatkan hakim tidak secara sewenang-wenangnya menangguhkan pendengaran kes tanpa sebarang alasan munasabah.

Beliau berkata, ia tidak boleh dijadikan budaya dan badan kehakiman perlu menangani perkara ini.

"Saya mahu budaya ini diamalkan oleh sistem kehakiman kita. Mahkamah di negara seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Singapura tidak mempunyai kes yang ditangguhkan.

"Saya mahu lihat apabila sesuatu kes ditetapkan untuk perbicaraan ia mesti didengar dan diputuskan tanpa penangguhan.

"Sebenarnya budaya tiada penangguhan ini sudah kita amalkan di Mahkamah Persekutuan. Pada mulanya memang susah untuk dipratikkan, namun kini kita hampir mencapai 100 peratus kes berjalan tanpa penangguhan," katanya ketka Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Seramai tujuh individu menerima Watikah Perlantikan Pesuruhjaya Kehakiman, iaitu Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin, Datuk Mohd Radzi Harun, Datuk Aliza Sulaiman, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, Wong Chee Lin, Darryl Goon Siew Chye dan Lim Hock Leng.

Terdahulu, Tun Raus berkata sebagai hakim, mereka perlu sedar bahawa pada masa ini, jangkaan masyarakat terhadap sistem kehakiman negara adalah tinggi.

"Di zaman teknologi yang serba canggih ini, kebanyakkan keputusan mahkamah diteliti dan diulas oleh masyarakat melalui media cetak dan media elektronik. Oleh itu keputusan kita hendaklah dibuat dengan teliti.

"Keputusan hendaklah adil berlandaskan undang-undang dan fakta yang terbukti. Alasan penghakiman pula hendaklah disediakan dengan segera. Bukan sahaja segera tetapi ia mesti mudah difahami rasionalnya," katanya.

Jika semua itu tidak diberi perhatian, beliau berkata, keputusan mahkamah akan dipersoal dan akibatnya keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap badan kehakiman akan terhakis.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment