Tiangong-1 diramal lintasi Malaysia awal pagi

Thursday, March 29, 2018

Tiangong-1 diramal lintasi Malaysia awal pagi


KUALA LUMPUR: Stesen angkasa Tiangong-1 milik China yang sedang jatuh ke bumi diramalkan melintasi Malaysia selama 81 saat mulai 3.19 pagi (30 Mac).

Dalam tempoh itu, ketinggiannya dijangka menyusut dari 182.462 km ke 182.407 km, menurut ramalan terkini 're-entry' stesen angkasa berkenaan yang dimaklumkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

Dalam kenyataan hari ini, Angkasa mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek mencurigakan disyaki daripada kejadian 're-entry' itu.
Tegasnya lagi, mereka turut digesa menghubungi talian kecemasan '999' untuk melaporkan sebarang pemerhatian dengan memberi maklumat seperti lokasi dan masa, dan adalah lebih baik sekiranya rakaman video dibuat bagi membantu siasatan kelak.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Angkasa, Dr Noordin Ahmad berkata, kebarangkalian Tiangong-1 jatuh di Malaysia dianggarkan hanya 0.09 peratus berdasarkan keluasan negara.

"Angkasa mengambil langkah awal dengan memantau penyusutan ketinggian Tiangong-1 seawal November 2017," katanya.

Majlis Keselamatan Negara turut bekerjasama dengan Angkasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.angkasa.gov.my.

- BERNAMA

sumber: astroawani

0 comments:

Post a Comment