Persempadanan semula: Pembangkang buat tuduhan melulu
PASIR GUDANG - Pembangkang sengaja membuat tuduhan tidak berasas apabila mendakwa keajaan campur tangan berkaitan syor persempadanan semula kawasan pilihanraya yang diluluskan di Parlimen, semalam.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad berkata, pembangkang hanya berhelah dengan menuduh kerajaan campur tangan dalam syor SPR itu kononnya demi memastikan kemenangan BN pada PRU14 nanti.
Jelas beliau, seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjelaskan, kerajaan tidak mempengaruhi SPR untuk mengemukakan syor persempadanan semula itu kerana ia dibuat demi kebanyakan wakil rakyat dan para pengundi.
"Pembangkang ni macam biasalah, bila ada perkara yang mereka tak suka terus buat pelbagai tuduhan tak berasas.
"Isu syor persempadanan semula ini tiada kaitan dengan campur tangan kerajaan atau nak memenangkan BN, SPR yang buat cadangan dan semestinya suruhanjaya itu sudah membuat kajian mendalam mengenai kebaikan persempadanan semula itu.
"PM kita juga sudah jelaskan persempadanan semula ini beri kelebihan kepada wakil rakyat untuk tingkatkan kecekapan khidmat mereka kepada pengundi," katanya kepada Sinar Harian.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan usul Persempadanan Semula Kawasan Pilihanraya persekutuan dan negeri dengan 129 ahli parlimen menyokong manakala 80 lagi tidak bersetuju.
Ujar Normala yang juga Ketua Wanita Umno Pasir Gudang lagi, tindakan pembangkang yang mencetuskan kekecohan dalam dan luar Dewan Rakyat selepas usul dibawa Perdana Menteri itu diluluskan telah menunjukkan sikap sebenar mereka yang suka memberontak tidak tentu pasal.
Katanya, rakyat boleh menilai sendiri tindak tanduk pemimpin pembangkang yang kononnya mampu mentadbir negara sedangkan perbuatan mereka sendiri tidak menunjukkan kredibiliti sebagai pemimpin yang baik.
"Bila tak setuju saja buat kecoh, bila tak puas hati saja buat demonstrasi...cetuskan suasana tidak aman. Itulah sikap pembangkang sejak dari dulu. Pemimpin seperti inikah yang rakyat nak pilih jadi pemimpin negara?
"Padahal sebelum ini SPR sudah bagi peluang kepada semua pihak untuk membuat semakan atau bantahan berkaitan syor persempadanan semula ini, malahan Kerajaan Selangor pun dah bawa kes ini ke mahkamah tapi permohonan mereka ditolak oleh mahkamah.
"Jadi apa yang tak adil lagi? Apa yang tak telus lagi?," katanya.
Oleh itu Normala berharap rakyat membuat penilaian terbaik sebelum memilih untuk mengundi pada PRU14 nanti kerana kewibawaan BN jauh berbeza dengan kelemahan pihak pembangkang.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment