Mahkamah iktiraf hak pembeli rumah
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini, mengiktiraf kepentingan pembeli supaya mereka diberi hak mendengar apabila pemaju perumahan membuat permohonan untuk mendapatkan lanjutan masa bagi menyiapkan projek.
Keputusan secara sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim, yang diketuai Datuk David Wong Dak Wah.
Dalam keputusan yang dibacakan oleh Datuk Harmindar Singh, mereka memutuskan bahawa pembeli sekurang-kurangnya wajar dimaklumkan berhubung permohonan pemaju untuk melanjutkan masa dan diberi hak untuk memberi maklum balas sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Dalam hal ini, kami terima bahawa kewujudan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesanan) 1966 adalah untuk memelihara kepentingan pembeli.
"Selain boleh membuat tuntutan ganti rugi apabila berlaku kelewatan, kami bersetuju bahawa pembeli perlu diberi peluang untuk mendengar dan memberi pandangan," katanya.
Turut bersidang bersama adalah Datuk Hasnah Mohammed Hashim.
Kes itu membabitkan rayuan yang dikemukakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pengawal Perumahan di kementerian itu dan syarikat pemaju perumahan BHL Construction Sdn Bhd, berhubung lanjutan masa yang dipohon atas kegagalan menyiapkan projek Kondominium Sri Istana di Jalan Klang Lama.
Syarikat pemaju perumahan itu didakwa gagal menyiapkan serta menyerahkan unit kepada pembeli dan berjaya memperoleh lanjutan masa 12 bulan.
Mahkamah dalam keputusannya turut memutuskan, lanjutan masa yang diberikan kepada syarikat itu juga terbatal kerana tidak sah berikutan ditandatangani oleh pengawal perumahan, sebaliknya hanya atas penama N Jayaseelan.
"Tidak ada petunjuk bahawa keputusan itu dibuat oleh menteri. Malah, menteri juga tidak memfailkan sebarang afidavit bagi menjelaskan berhubung perkara itu. Kami berpendapat surat dibuat tanpa bidang kuasa dan bercanggah dengan akta," katanya.
Bagaimanapun, mahkamah rayuan itu memutuskan, menteri tidak mempunyai kuasa (ultra vires) untuk mengawal dan menetapkan sebarang terma dan syarat kontrak antara pemaju perumahan berlesen, ejennya atau penama dan pembelinya mengikut peruntukan Seksyen 24(2)(e) akta berkenaan.
Pada 27 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan lebih 100 pembeli unit projek kondominium itu yang mencabar tindakan pemaju perumahan memohon lanjutan masa bagi menyiapkan projek perumahan itu tanpa pengetahuan mereka.
Peguam Persekutuan, Khairul Nizam Mohd Kamal, hadir bagi mewakili Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pengawal Perumahan, manakala peguam Andy Wong mewakili semua pembeli projek perumahan itu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment