Pelancongan berpotensi jadi nadi pembangunan sosioekonomi

Saturday, March 31, 2018

Pelancongan berpotensi jadi nadi pembangunan sosioekonomi

Pelancongan berpotensi jadi nadi pembangunan sosioekonomi

KENINGAU - Industri pelancongan merupakan antara sektor berpotensi besar untuk dijadikan nadi penggerak terpenting pembangunan sosioekonomi di kawasan pedalaman khususnya Keningau, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Sairin Karno.

Katanya, Keningau memiliki pelbagai daya tarikan pelancong seperti masyarakat majmuknya, makanan, pakaian, kraftangan, muzik dan tarian pelbagai tradisi yang berpotensi diketengahkan untuk sektor itu.

“Kita ada kesan peninggalan sejarah seperti muzium warisan, batu peringatan perang, batu sumpah dan yang terbaharu saya diberitahu oleh pihak keselamatan bahawa Keningau merupakan ibu negeri kerajaan Jepun ketika perang dunia kedua.

“Di Sook dibina sebuah lapangan terbang antarabangsa kerajaan itu (Jepun) ketika era tersebut,” katanya kepada Bernama pada Majlis Perasmian Kayu Manis 2018 di sini hari ini.

Sairin yakin daerah Keningau berupaya menjadi aset pelancongan bernilai tinggi kepada negeri dan negara jika ia dipromosikan sebaik-sebaiknya.

“Pelbagai tarikan semula jadi berpotensi dimajukan sebagai produk pelancongan. Antaranya pokok kayu manis itu sendiri jika dibangunkan sebagai sumber komersil akan meletakkan daerah ini dikenali di persada dunia.

“Sebab itu saya mencadangkan kepada agensi terbabit supaya diadakan program mempergiatkan penanaman pokok kayu manis secara komersil di daerah ini…kita mahu kayu manis sebagai industri baharu yang memberi pulangan besar kepada penduduk,” katanya.

Mengenai pesta berkenaan, Sairin mahu supaya ia terus dianjurkan pada masa-masa akan datang sebagai landasan untuk menyatukan rakyat pelbagai fahaman politik, kaum, budaya dan agama di kawasan pedalaman.

Turut hadir ke majlis itu ialah Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman dan Ketua Polis Keningau DSP Ahmad Jawila.

Mengenai Tahun Melawat Keningau 2018, Sairin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Liawan berkata beliau bangga kerana ‘The Hinterland Gem of North Borneo’ dipilih sebagai slogan sempena Tahun Melawat Keningau 2018.

Katanya slogan itu sesuai dengan kedudukan daerah itu yang terletak di tengah-tengah negeri Sabah. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment