ESSCOM benteng keselamatan ancaman pengganas
SANDAKAN: Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sejak lima tahun lalu menjadikan wilayah itu lebih selamat daripada ancaman pengganas dari negara jiran, sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat dan sektor pelancongan.
Ini terbukti apabila tiada lagi kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) direkodkan sepanjang tahun lalu, hasil keberkesanan dan tindakan proaktif ESSCOM dalam menjaga keselamatan di wilayah berkenaan.
Pantau rapi ancaman keselamatan
Bagaimanapun, ia tidak membuatkan pengurusan tertinggi ESSCOM cepat berpuas hati, malah sentiasa memantau rapi ancaman keselamatan dari semasa ke semasa.
Kepekaan ESSCOM terhadap ancaman keselamatan dibuktikan dengan kejayaan menembak mati penjenayah rentas sempadan, Masurani Insawani @ Tarab di perairan Kunak pada 29 September lalu dan Abu Paliyak di perairan Silam pada 4 Disember lalu.
Di sebalik kejayaan itu, ESSCOM yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Persekutuan dan Sabah tidak pernah alpa malah terus melakukan pelbagai perancangan dan pembaharuan.
Dalam inisiatif terbaru, ESSCOM bakal mewujudkan Road Check Point (RCP) atau pusat pemeriksaan di daratan serta Sea Check Point (SCP) iaitu pemeriksaan di laut yang menumpukan usaha menghalang kemasukan elemen yang mengancam keselamatan di pantai timur Sabah.
RCP dilaksanakan secara tetap
RCP yang bakal dilaksanakan di Kalabakan pada hujung bulan ini manakala di Telupid dijangka antara April hingga Mei, antara lain dilaksanakan susulan kedua-dua lokasi itu antara laluan utama dari pantai timur ke pantai barat Sabah yang kemungkinan turut digunakan penjenayah.
Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata RCP akan dilaksanakan secara tetap di kedua-dua laluan itu yang menggabungkan pelbagai agensi keselamatan dan penguat kuasa.
"Kita perlu segerakan RCP di Kalabakan dan Telupid kerana kedua-dua laluan ini yang menghubungkan pantai timur dan barat dipercayai digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk bergerak antara dua bahagian terbabit.
"Biarpun keadaan kita di timur Sabah terkawal dan tenang, usaha memperkukuh keselamatan perlu sentiasa dilakukan kerana Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) masih terdedah kepada penjenayah rentas sempadan dari negara jiran," katanya.
Hazani berkata, kegiatan penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan terus menjadi sasaran utama ESSCOM kerana faktor jarak yang dekat antara ESSZONE dan kepulauan di Filipina, dengan sebarang situasi pergolakan di selatan negara jiran itu mampu mempengaruhi situasi keselamatan di negeri ini.
"SCP bertujuan menyekat kemasukan senjata api dan elemen jenayah rentas sempadan dengan memeriksa kemasukan setiap kapal ke negeri ini. Ia kini di peringkat menentukan bentuk undang-undang boleh diguna pakai dan dijangka dilaksanakan tahun ini," katanya.
Susulan pelbagai inisiatif itu juga, ESSCOM yakin agensi itu diterima baik masyarakat di ESSZONE.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment