Perak tubuhkan akademi lumba kereta US Legend

GOPENG: Perak memperkenalkan akademi lumba kereta siri US Legends Cars sebagai tarikan baharu pelancongan sekali gus dapat mencungkil bakat muda dalam sukan permotoran.
Akademi itu yang diberi nama US Legend Cars Malaysia Race Academy adalah yang pertama di Asia Tenggara dan ketiga di rantau Asia selepas Jepun dan Korea Selatan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia fasa pertama pembangunan projek T-City membabitkan projek sukan permotoran di kawasan seluas 83 hektar yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama sebuah syarikat swasta iaitu Goodland Limited sejak dua tahun lalu.
"Ia telah dirancang dengan begitu teliti dan pada hari ini kita dapat melihat hasil peringkat permulaan dengan penubuhan sebuah litar lumba kereta terlebih dahulu.
"Konsep yang dilaksanakan ini bukanlah seperti F1 (litar) tetapi ia adalah satu projek rakyat di mana semua peringkat masyarakat boleh menggunakan kemudahan sukan permotoran di kawasan ini dan menjadi satu tarikan besar bagi negeri Perak," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Akademi Lumba Kereta Memandu T-City di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Goodland LimitedTan Chee Beng.
Zambry berkata, kewujudan akademi itu memberi kelebihan kepada pembangunan negeri itu sekali gus menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong terutama peminat sukan jenis permotoran itu.
Sementara itu, Chee Beng, berkata pembukaan akademi dan itu litar diharap dapat menjadi pentas dalam mencungkil bakat baharu dalam permotoran US Legends Cars.
"Selepas ini, kami merancang untuk mengembangkan lagi kawasan litar dengan membuka lebih banyak gerai sukan berkaitan permotoran termasuk pembukaan garaj bagi menempatkan kereta lumba berkenaan," katanya.
INFO:
- Kos awal pembinaan litar di akademi menelan belanja lebih RM3 juta
- Akademi memperuntukkan kursus selama tiga hari untuk mempelajari teknik memandu kereta lumba
- Terdapat 100 unit kereta lumba jenis Bandolero dan jenis Legend Cars
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment