Perpustakaan perlu jadi tumpuan dalam agenda negara

Wednesday, August 29, 2018

Perpustakaan perlu jadi tumpuan dalam agenda negara

Perpustakaan perlu jadi tumpuan dalam agenda negara

KUALA LUMPUR - Presiden Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa  (IFLA) Gloria Perez-Salmeron mahu kerajaan meletakkan perpustakaan sebagai tumpuan utama dalam agenda pembangunan negara.

Beliau berkata perpustakaan memerlukan sumber, undang-undang dan kestabilan untuk memenuhi visinya sebagai tumpuan ilmu dalam masyarakat yang ia memberi khidmat.

“Saya telah menyampaikan perkara ini kepada pihak berkuasa tempatan apabila saya bertemu dengan menteri, pegawai atau diplomat dari Pertubuhan Bangsa Bersatu.

“Saya memberitahu mereka apabila anda menyokong perpustakaan, anda menyokong komuniti, apabila anda meluluskan undang-undang untuk perpustakaan, anda meluluskan undang-undang untuk rakyat anda,” kagta beliau dalam ucapan penutupan Kongres Perpustakaan dan Maklumat Dunia (WLIC) 2018 di sini hari ini.

Kongres selama tujuh hari yang berakhir esok menyaksikan lebih 3,000 peserta dari 102 negara mendaftar untuk kongres itu yang membincangkan, membahaskan dan bertukar-tukar idea mengenai isu-isu profesional berkaitan profesion perpustakaan.

Bandaraya Athens di Greece telah dipilih untuk menganjurkan WLIC tahun depan sementara Auckland, New Zealand akan menjadi hos kongres itu pada 2020.

Sementara itu, menurut Gloria, akses kepada maklumat hari ini tidak akan bermakna kepada pengguna jika ia hanya berkisar kepada kabel, komputer atau telefon bimbit.

Beliau berkata akses itu juga mesti merangkumi keupayaan untuk memahami,  mengaplikasi dan mencipta maklumat.

“Setiap individu perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran, sikap dan keyakinan yang diperlukan untuk melayari maklumat.

“Tidak ada bandar lestari tanpa warga pintar, dan akses kepada maklumat hanya memungkinkan melalui perpustakaan,” kata beliau. -Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment