Kejayaan raih podium untuk semua pelumba Malaysia
PELUMBA kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie mendedikasikan kejayaannya meraih kedudukan podium pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, hari ini kepada kesemua pelumba Malaysia.
Pelumba pasukan Forca Amskins Racing itu mencipta kejutan selepas menduduki tempat ketiga pada peringkat ketiga LTdL sejauh 166km dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu, dengan catatan 3 jam 58 minit dan 31 saat.
Kejayaan hari ini menyaksikan anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu merampas Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia daripada pelumba Korea Selatan, Seo Joonyong yang mewakili pasukan KSPO Bianchi Asia Procycling.
Pelumba muda Kanada, Adam de Vos muncul pemenang perlumbaan hari ini dengan masa 3 jam 58 minit 18 saat manakala rakan sepasukan Seo, Kim Daeyeon terpaksa berpuas hati di tempat kedua setelah ketinggalan 13 saat di belakang Adam.
"Walaupun saya menang di Terengganu, ia tidak menjadi masalah kerana yang penting pelumba kita sendiri yang menang.
"Ini persembahan terbaik saya kerana bukan senang hendak menang dalam kejohanan seperti ini," kata Nik Mohd Azwan pada sidang media selepas perlumbaan berkenaan.
Dalam pada itu, Nik Mohd Azwan yang lebih mesra dengan panggilan 'Pok Nikâ dalam kalangan rakan sepasukan, mengakui perlumbaan hari ini agak mencabar memandangkan ada beberapa pelumba yang melakukan pemisahan sewaktu perlumbaan baharu sahaja melintasi jarak 5km.
"Perlumbaan hari ini agak jauh dan saya sudah menyasarkan untuk melakukan pemisahan kerana mahu mengurangkan catatan masa bagi mencerahkan peluang mengutip jersi putih dan kuning.
"Persaingan ke garisan penamat agak sengit kerana laluan landai dan beberapa pelumba cuba melakukan henjutan awal ke garisan penamat, namun saya gembira kerana berjaya meraih kedudukan podium," jelas Nik Mohd Azwan yang merupakan seorang anggota polis.
Peringkat keempat LTdL 2018, esok melibatkan jarak sejauh 177.6km dari Dungun ke Pekan yang membabitkan tiga zon pecutan di Paka, Chukai dan Tanjung Lumpur, selain satu zon pendakian di Kijal.- Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment