'Jangan undi ikut emosi'

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah diingatkan untuk tidak dipengaruhi emosi hingga memberi undi kepada parti kecil.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata undi penting dan mandat itu wajar diberi kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan suara rakyat Sabah kedengaran di peringkat nasional.
"Jangan beri undi merata tempat terutama parti kecil hanya kerana emosi atau sebab lain.
"Parti kecil tidak mampu menubuhkan kerajaan dan apabila ini berlaku, kita sebagai rakyat Sabah akan rugi sebab suara kita kecil.
"Sebaliknya, suara kita menjadi lebih kuat dalam mana juga peringkat jika kita berikan kemenangan besar kepada BN.
"Jangan ambil satu atau dua perkara untuk dijadikan alasan bahawa kerajaan sedia ada tidak lagi boleh diberi mandat sedangkan BN masih mahu menjaga negara ini.
"Mandat itu perlu untuk mengukuhkan BN," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha BN Sabah berkata demikian selepas melancarkan Kelab Keselamatan Jalan Raya (KKJR) dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Inanam di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengetua Cemerlang SMK Inanam, Mozidah Hamzah dan Yang Dipertua PIBG SMK Inanam, Ramlah Basri.
Mengenai kedudukan 13 kerusi tambahan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata BN sedia berdepan pembangkang tanpa mengira sama ada berlaku penambahan atau sebaliknya.
Berhubung dakwaan kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat, beliau berkata, kerajaan mengadakan pelbagai program dan memberi inisiatif kepada rakyat untuk menambah pendapatan.
"Ini adalah tuduhan berat dan tidak adil kerana kerajaan ada pelbagai program, latihan, kursus dan inisiatif untuk meningkatkan pendapatan rakyat, selain membantu dalam aspek keusahawanan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment