UiTM Segamat bakal tawar program baharu

Thursday, March 15, 2018

UiTM Segamat bakal tawar program baharu

UiTM Segamat bakal tawar program baharu

PASIR GUDANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat bakal menawarkan satu program baharu kepada para pelajar di kampus berkenaan bermula awal tahun depan.

Rektor UiTM Johor, Prof Madya Dr Ahmad Naqiyuddin Bakar berkata, program itu adalah pengajian ijazah Sarjana Muda Pemasaran Digital.

Menurutnya, kumpulan pertama bagi sesi pengambilan program di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan itu dijangka menerima kemasukkan pada Januari 2019 membabitkan 100 pelajar.

“Sebelum satu-satu program diperkenalkan, kebiasaannya kita akan menjalankan kajian untuk mengenal pasti program yang dikehendaki oleh pihak industri.

“Program ini juga diperkenalkan sebagai memenuhi keperluan untuk memacu ekonomi memandangkan era digital kini semakin mendapat permintaan dan kemahiran tersebut amat diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sinar Hati bersama Jabatan Mufti Johor di UiTM cawangan Pasir Gudang, di sini, semalam.

Program itu disempurnakan oleh Mufti Johor, Datuk M Tahrir Samsudin.

Ahmad Naqiyuddin berkata, pihaknya juga turut bercadang untuk menjalankan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat digital untuk keperluan pelajar yang mengambil program tersebut.

“Program ini dijangka mengambil masa selama tiga tahun yang mana dua tahun adalah sesi pembelajaran di universiti, manakala setahun lagi untuk latihan industri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya tentang program baharu di UiTM cawangan Pasir Gudang pula, beliau menjawab setakat ini memadai lima program yang ditawarkan di kampus itu.

“Kapasiti UiTM Pasir Gudang boleh menambah bilangan pelajar lagi, tetapi buat masa ini kita tidak bercadang untuk menambah program ini.

“Setakat ini jumlah pelajar di dua-dua cawangan di Johor ini mencecah sekitar 10,000 pelajar,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment