Tuduhan murid SK Bukit Tinggi tak terima RMT fitnah

Thursday, March 15, 2018

Tuduhan murid SK Bukit Tinggi tak terima RMT fitnah

Tuduhan murid SK Bukit Tinggi tak terima RMT fitnah

KLANG: Dakwaan 26 murid miskin Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tinggi tidak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan kononnya sekolah berkenaan memohon sumbangan awam membaiki kemudahan adalah fitnah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Tinggi, Henry Asokan, berkata sekolah berkenaan tidak sampai ke tahap 'meminta sedekah' untuk kos penyenggaraan kemudahan seperti viral di media sosial hari ini.

Mesej disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu turut memaparkan nombor akaun bank sekolah berkenaan bagi menyalurkan sumbangan termasuk kononnya mahu memperbaiki kerosakan kemudahan sekolah berkenaan.

Henry berkata, pihaknya terkejut dengan penyebaran maklumat palsu itu kerana kebajikan murid sentiasa dipantau secara rapi bersama pengurusan sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang.

"Tiada murid yang tidak menerima bantuan RMT itu dan jika memerlukan dana untuk membaiki sekolah, kita akan memohonnya dengan PPD.

"Kita mempunyai sumber tersendiri untuk memperoleh dana yang sah. Malah, guru-guru sekolah ini turut sanggup membelanjakan wang sendiri demi kebajikan murid," katanya pada sidang media di sekolah itu, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JPN negeri, Shashim Shah Harun; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Klang, Adliyah Ramli dan Guru Besar SK Bukit Tinggi, Jamaliah Ab Hamid.

Henry berkata, pihaknya kini dalam proses mendapatkan nasihat perundangan untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Jika ada individu yang sudah memberi sumbangan itu, kita akan membuat tindakan susulan termasuk menyerahkan semula wang berkenaan," katanya.

Sementara itu, Jamaliah turut menafikan perkara berkenaan dan berkata, seramai 26 murid menerima bantuan termasuk RMT berkenaan setakat ini.

"Tahun ini, seramai 40 murid memohon RMT namun hanya 26 daripada mereka diterima berdasarkan syarat ditetapkan kementerian iaitu pendapatan perkapita isi rumah keluarga.

"Penyebaran berita palsu ini kali pertama berlaku dan diharap tidak berulang pada masa depan," katanya memaklumkan pihaknya sentiasa menjaga kebajikan lebih 1,300 murid sekolah itu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment