Tiga sekawan ditangkap khalwat

Thursday, March 29, 2018

Tiga sekawan ditangkap khalwat

Tiga sekawan ditangkap khalwat

KUALA TERENGGANU: Hajat tiga sekawan termasuk seorang gadis bawah umur melepak di sebuah hotel bajet di daerah ini semalam memakan diri apabila ditahan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Gadis berusia 15 tahun itu ditahan berkhalwat bersama dua rakan lelakinya masing-masing berusia 18 dan 21 tahun dalam operasi cegah maksiat kira-kira jam 2.10 petang.

Menurut sumber, gadis yang sudah tidak bersekolah itu mendakwa mereka mendaftar masuk di hotel berkenaan hanya untuk melepak sebelum bilik berkenaan diserbu.

Katanya, tiga sekawan itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

"Bagaimanapun, gadis dan rakan lelakinya berusia 18 tahun terpaksa bermalam di lokap Balai Polis Kuala Terengganu sementara menunggu sebutan kes di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini manakala rakan mereka dilepaskan dengan bon jaminan.

"Dua remaja terbabit akan dihantar ke pusat pemulihan akhlak atas permintaan ahli keluarga masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, JHEAT turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun selepas didapati berdua-duaan bersama seorang wanita warga asing dalam serbuan di sebuah rumah urut di bandar raya ini semalam.

Menurut sumber, lelaki terbabit yang sedang mendapatkan khidmat urutan dicekup bersama wanita yang juga pekerja di premis berkenaan dalam Ops Rumah Urut kira-kira jam 1.50 petang.

Katanya, lelaki terbabit bagaimanapun dilepaskan dengan bon jaminan sementara menunggu tarikh sebutan kes di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment