Saji beriani udang sempena jeti siap

Wednesday, March 28, 2018

Saji beriani udang sempena jeti siap

Saji beriani udang sempena jeti siap

PONTIAN - Suasana di Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Durian pagi semalam berbeza berbanding hari biasa.

Sejak awal pagi, nelayan sudah sibuk rewang menyiapkan bahan-bahan masakan bagi majlis kenduri kesyukuran yang diadakan di jeti tersebut.

Majlis kenduri itu diadakan sebagai tanda kesyukuran komuniti nelayan Sungai Durian selepas kerja-kerja menaik taraf jeti bernilai RM600,000 siap sepenuhnya.

Hidangan istimewa beriani udang disajikan kepada lebih 50 tetamu yang hadir antaranya Adun Kukup, Suhaimi Salleh, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah, Ir Radzuan Mamat, Penghulu Mukim Serkat, Roslan Bokari dan penduduk kampung.

Ketua Pengkalan Nelayan Sungai Durian, Nor Khairul Nizam Razali berkata, lebih 70 nelayan pantai di kawasan itu mendapat manfaat setelah jeti siap dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan seperti tandas, surau dan dewan nelayan.

Katanya, usaha dilakukan kerajaan negeri dapat meningkatkan pendapatan nelayan kerana kerja-kerja pendaratan hasil tangkapan lebih mudah dengan pembinaan jambatan dan laluan pejalan kaki yang baharu.

“Dulu, laluan pejalan kaki di bina dari kayu dengan keadaan yang uzur dan tidak stabil.

“Selepas kerja-kerja naik taraf dimulakan pada Ogos 2017, laluan pejalan kaki dari konkrit dan jambatan sepanjang 340 kaki dibina. Keadaannya lebih selamat untuk kegunaan nelayan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bertuah MB berkunjung ke jeti

Menurut Nor Khairul, nelayan di kawasan ini cukup bertuah kerana Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin datang berkunjung ke Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Durian sempena lawatan ke Parlimen Tanjung Piai pada Mac tahun lalu.

“Alhamdulillah sewaktu kunjungan tersebut, peruntukan sebanyak RM500,000 diberikan bagi kerja-kerja naik taraf jeti.

“Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjung Piai turut menambah peruntukan tersebut sebanyak RM100,000,” katanya.

Katanya, dua dewan nelayan yang terdapat di jeti tersebut juga sudah digunakan penduduk kampung dan agensi kerajaan sebagai lokasi penganjuran pelbagai program.

“Kawasan dewan nelayan yang luas dan berangin kerana terletak berdekatan laut cukup sesuai untuk dijadikan sebagai tempat bagi program-program melibatkan penduduk kampung.

“Selain kemudahan surau dan tandas yang disediakan memberi keselesaan kepada nelayan dan pengunjung,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Durian akan menjadi lokasi pelancongan pada masa akan datang.

“Bila sudah ada kemudahan seperti surau, tandas, dewan dan pejalan kaki konkrit sudah pasti lebih mudah untuk pengunjung luar datang melihat keindahan paya bakau di Sungai Durian.

“Ini juga akan memberi kelebihan kepada nelayan untuk terlibat dalam bidang pelancongan seterusnya dapat menambah pendapatan mereka,” katanya.

30kg beriani udang

Nelayan, Haron Abu, 42, berkata, dia bersama 30 nelayan berkampung di jeti sejak awal pagi untuk menyiapkan bahan-bahan bagi memasak beriani udang.

Katanya, keistimewaan beriani udang terletak pada kesegaran udang besar atau udang harimau yang ditangkap sendiri oleh nelayan Sungai Durian.

“Sebanyak 30kg beras basmathi dimasak beriani udang. Ini kali pertama kali rewang bersama di jeti untuk majlis kenduri kesyukuran yang julung kali diadakan di jeti Sungai Durian.

“Selalu kami turun ke laut bersama menjala ikan, tetapi semalam, kami masak bersama di jeti,” katanya.

Menurut Haron, udang harimau sebanyak 30 kg disediakan nelayan sebagai bahan utama beriani udang yang cukup istimewa itu.

“Nelayan Sungai Durian cukup gembira melihat jeti yang sudah dinaik taraf.

“Tiada lagi kerisauan untuk menggunakan jambatan sebab sekarang sudah dibina konkrit berbanding dulu hanya kayu,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment