PU Sendayan tambah nilai hartanah setempat

Friday, March 16, 2018

PU Sendayan tambah nilai hartanah setempat

PU Sendayan tambah nilai hartanah setempat

SEREMBAN: Pembukaan Pangkalan Udara (PU) Sendayan diyakini mampu merancakkan kegiatan ekonomi penduduk, sekali gus menambah nilai hartanah setempat.

Malah, kebanyakan penduduk yang ditemui NSTP menyambut baik penempatan semula pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Sendayan itu.

Bagi penduduk dan pengendali perniagaan makanan, Ariff Gamma Khan, 24, pembukaan pangkalan itu akan menambah nilai kepada sektor hartanah Bandar Seri Sendayan.

"Saya berpindah ke sini pada 2010 dan ketika itu kawasan ini masih dalam pembangunan dan tidak ramai yang tinggal di sini.

"Tetapi kini, penduduk pasti bertambah dengan adanya banyak kemudahan, kedai runcit dan perkhidmatan lain," katanya.

PU Sendayan adalah pangkalan terbaharu TUDM dan akan menjadi pusat latihan terbesar serta utama TUDM.

Kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di PU Sendayan menempatkan 2,500 pegawai dan anggota lain-lain pangkat serta ahli keluarga.

Ariff Gamma Khan berkata, pangkalan udara yang baru beroperasi itu akan menyaksikan lebih ramai warga TUDM dan keluarga berpindah di sini dan akan membantu merancakkan kegiatan ekonomi setempat.

Sependapat dengannya, suri rumah, Intan Nazrifa Tormudzi, 33, yakin pangkalan udara berkenaan akan menyumbang kepada populasi penduduk di Bandar Seri Sendayan.

"Ia akan membuka lebih banyak peluang untuk perkhidmatan dan kemudahan lain yang akan dibangunkan di Sendayan.

"Penduduk pasti akan mendapat manfaat daripadanya. Ia akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di sini," kata ibu kepada dua anak itu.

Beliau yang turut menjalankan perniagaan pakaian kanak-kanak secara dalam talian berkata, selain kemudahan, kewujudan pangkalan juga akan merangsang kegiatan ekonomi di sini.

"Apabila kerajaan memindahkan pangkalan udara TUDM dari Kuala Lumpur ke Sendayan, saya sangat bersyukur dan bangga kerana ia satu pangkalan udara ikonik negara yang turut memberi tempias kepada masyarakat sekitar," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment