Program transformasi ubah kehidupan

KUALA LUMPUR: "Sejak lahir pada 1963, saya tidak pernah menikmati kemudahan elektrik sehingga tahun lalu dengan siapnya Projek Solar Hibrid di Bario, Sarawak.
"Dari situlah kami dapat bekalan elektrik 24 jam sehari," kata Dayang Nalin, 55, dari Kampung Aru Dalam, Bario, berkongsi pengalaman ketika menjadi jemputan Majlis Pelancaran Laporan Tranformasi Negara 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam ini.
Dayang masih ingat kesusahan dihadapi keluarganya yang ketika itu hanya bergantung kepada sumber api damar dan pelita minyak tanah untuk urusan seharian.
"Ketika itu sukar mendapatkan bahan lain untuk menjana elektrik atau pun sumber lampu pada waktu malam. Bagi yang bersekolah seperti saya, waktu susah dahulu kami hanya menggunakan gunakan lampu damar," katanya.
Pengusaha pusat rawatan kecantikan dan spa dari Semporna, Sabah, Kalsum Juhuri, berkata Program Khas bagi Pemerkasaan Komuniti (SPICE) kelolaan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Malaysia kendalian Kementerian Sumber Manusia mengubah hidupnya hingga memiliki spa.
"Alhamdulillah, impian saya sempurna selepas mengikuti program SPICE dan sepanjang kursus 25 hari, banyak dipelajari mengenai selok-belok rawatan di spa.
"Saya turut mempelajari rawatan selepas bersalin yang kebiasaannya hanya dilakukan bidan kampung," katanya.
Katanya, pengetahuan dan kemahiran tambahan itu membuatkan beliau yakin membuka perniagaan spa tiga bulan selepas itu dan bertahan hingga kini.
Sementara itu, usaha anak Malaysia, Arul Jothy, menguruskan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), NGLTech Sdn Bhd (NGLTech) sehingga berjaya memenangi dua anugerah teknologi baharu di OTC Asia adalah sesuatu yang patut dicontohi syarikat PKS lain.
Anugerah itu membabitkan penghasilan LP CRS dan Cyclonic Sand Removal System (CSRS) yang dibangunkan bersama PETRONAS.
Arul yang juga Pengarah Urusan NGLTech berjaya meletakkan syarikatnya di peringkat antarabangsa apabila bakal memuktamadkan kerjasama pertamanya di luar negara, membabitkan projek bernilai kira-kira RM25 juta selewat-lewatnya bulan depan.
Sementara itu, bekas banduan yang turut berkongsi pengalamannya, Khairul Zakran, mengakui kesediaan keluarga dan masyarakat menerima beliau semula tanpa sebarang prejudis, selepas dipenjarakan selama 18 tahun dengan 10 sebatan, menjadi lonjakan perubahan dalam hidupnya.
Khairul mengakui tiga latihan kemahiran disediakan Jabatan Penjara, iaitu kemahiran membuat roti, kemahiran asas jahitan dan kemahiran mengendalikan kenderaan berat, membawa perubahan dalam hidupnya apabila dibebaskan.
Pengurus Pemasaran PBH Music Art Sound and Lighting, Charles Wee berjaya membuktikan peranan kerajaan berjaya meletakkan negara di peringkat antarabangsa di pasaran E Dagang.
"Saya bermula daripada bawah di mana ayah saya adalah orang yang mereka alay muzik tradisional.
Menerusi pasaran E-Dagang di dalam Zon Perdagangan Bebas Digital Malaysia (DFTZ), saya boleh meluaskan lagi perniagaan di tahap antarabangsa.
"Kini, lebih ramai orang dari luar negara boleh membeli alat muzik yang dijual oleh syarikat saya melalui internet.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment