PARLIMEN: JPJ sentiasa pantau kenderaan berat, lebih muatan

Tuesday, March 20, 2018

PARLIMEN: JPJ sentiasa pantau kenderaan berat, lebih muatan

PARLIMEN: JPJ sentiasa pantau kenderaan berat, lebih muatan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sentiasa menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan terhadap pemandu kenderaan berat yang melanggar peraturan jalan raya, termasuk membawa lebih muatan hingga mengundang kemalangan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata, biarpun statistik menunjukkan punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia adalah kerana kecuaian pengguna jalan raya, tidak dinafikan kenderaan berat juga menyumbang masalah itu.

"JPJ sentiasa pantau, kenderaan berat yang melebihi muatan, tidak ikut peraturan keselamatan dan ia akan mudah membabitkan kemalangan.

"Selain itu, kenderaan berat seperti lori ini perlu diurus penjagaan supaya sistem brek tidak luar kawalan dan tayar yang digunakan menepati SIRIM," katanya ketika menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS- Bukit Gantang), pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Idris mahu tahu apakah tindakan drastik kementerian dalam mengatasi kemalangan yang berpunca daripada pemandu kenderaan berat seperti bas dan lori yang tiada sivik.

Sementara itu, menjawab soalan utama Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), Aziz berkata, pelbagai program dilaksanakan JPJ bagi meningkatkan hubungan mesra agensi itu dengan pengguna jalan raya dan kelab permotoran di negara ini.

Beliau berkata, pada masa sama program dilaksanakan itu juga bertujuan mendidik masyarakat dan ahli kelab permotoran supaya lebih berdisiplin di jalan raya sekali gus membendung peningkatan kadar kemalangan.

"Program dijalan JPJ ini tidak hanya mengkhususkan kepada kelab permotoran, malah orang ramai. Antaranya, 1JPJ Advance Driving yang mendedahkan semua peminat sukan permotoran dengan teknik pemanduan selamat dan berteknikal serta diperkasakan dengan ilmu mengenai kenderaan dan penjagaannya.

"JPJ juga mengembangkan teknik pemanduan dan penjagaan kenderaan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan," katanya.

Beliau berkata, program seumpama itu juga disalurkan kepada kelab permotoran yang berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan termasuk di Sabah dan Sarawak.

"Pada 2016 misalnya, 14 program berkaitan diadakan membabitkan 580 peserta dan tahun lalu, ia dikembangkan dan dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan dan industri automotif serta kelab dan persatuan permotoran," katanya.

Hasbullah meminta menteri menyatakan program yang direncanakan oleh JPJ bersama penguna jalan raya serta peminat sukan permotoran bagi merapatkan lagi hubungan agensi terbabit bersama pengguna.

Menurut Aziz lagi, JPJ juga sering dijemput sebagai juri pelbagai pertandingan permotoran klasik di seluruh negara.

"Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ juga sedang merangka program bersama institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis dan dibantu pelopor industri permotoran termasuk MODENAS, PROTON, PERODUA, Yamaha dan Kawasaki.

"Selain itu, bagi merapatkan lagi hubungan serta mendidik pengguna jalan raya, bahagian kejuruteraan automotif JPJ sentiasa bersiaran di radio Ikim FM, Perlis FM, PerakFM dan Asyik FM dalam Program 'DIMD Auto: Kenali Kenderaan Kita' setiap minggu," katanya.

Dalam pada itu, katanya, JPJ sentiasa menggalakkan golongan muda dan peminat sukan permotoran berdaftar dengan Skuad Muda JPJ bagi meningkatkan pemahaman mengenai keselamatan jalan raya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment