LTAT bayar bonus, dividen 12.5 peratus

Thursday, March 22, 2018

LTAT bayar bonus, dividen 12.5 peratus

LTAT bayar bonus, dividen 12.5 peratus

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan pembayaran dividen dan bonus pada kadar 12.5 peratus kepada ahli yang layak mulai esok.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, pembayaran itu membabitkan jumlah keseluruhan RM686.8 juta.

“Bayaran dividen dan bonus ini meliputi enam peratus dividen dan 6.5 peratus bonus khas berbentuk unit amanah saham yang akan diberi secara percuma kepada para pencarum yang aktif.

“Dividen dan bonus ini akan mula dikreditkan dalam akaun ahli-ahli yang mencarum bermula esok,” katanya pada sidang media Program Jualan Sentuhan Rakyat di Dewan Seroja, Kem Kementah di sini, hari ini.

Beliau turut mengumumkan LTAT mencatatkan pendapatan bersih berjumlah RM667.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, meningkat 12.1 peratus atau RM72.1 juta berbanding RM595 juta pada  2016.        

Hishammuddin yang juga  Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri, berkata kadar yang diisytiharkan kali ini lebih tinggi berbanding purata kadar dividen dan bonus semenjak LTAT ditubuhkan pada 1972 iaitu sebanyak 11.3 peratus.

Beliau berkata,  aset LTAT setakat 31 Disember tahun lalu  bernilai RM10 bilion, meningkat  4.2 peratus iaitu RM0.4 bilion berbanding RM9.6 bilion pada 2016.

“Sehingga kini, LTAT dan syarikat kumpulannya serta Yayasan LTAT telah membiayai pelbagai program biasiswa dan kebajikan lain melibatkan lebih 134,600 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih berkhidmat, veteran ATM serta ahli keluarga mereka yang layak dengan kos RM416.1 juta,” katanya.

Hishammuddin berkata melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera pula, LTAT berjaya melatih  8,171 anggota ATM yang akan dan telah bersara dalam pelbagai bidang kemahiran dengan peruntukan geran kerajaan berjumlah RM27 juta pada tahun lalu.

Turut hadir Panglima ATM Jeneral, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi. - Bernama
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment